MH370: Hanya kotak hitam mampu beri jawapan

NORSHAZLINA NOR'AZMAN | .

KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan Malaysia bahawa serpihan sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai flaperon adalah sebahagian daripada pesawat MH370, yang hilang lebih 17 bulan lalu, memberi harapan kepada pasukan penyelamat menggiatkan usaha mencari lebih banyak serpihan pesawat itu di perairan sekitar Pulau Reunion di Lautan Hindi.

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas berdasarkan daripada pengesahan pakar antarabangsa yang menyatakan rekod penyelenggaraan dan tanda pengesahan teknikal pada flaperon adalah bukti konklusif bahawa serpihan berkenaan sememangnya adalah sebahagian pesawat MH370.

Penerbangan yang menggunakan pesawat Boeing 777-200ER MAS dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari imbasan radar pada 8 Mac, 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kali ini, tugas penting yang dipikul pasukan penyelamat dalam fasa pencarian seterusnya adalah mengesan baki serpihan, badan pesawat dan juga kotak hitam.

Kotak hitam yang merakamkan pelbagai aspek penting sepanjang penerbangan seperti operasi dan aktiviti penerbangan pesawat, komunikasi dan keadaan cuaca merupakan kunci untuk membongkar jawapan kepada punca kejadian.

Mempergiat pencarian

Nahas udara yang menimpa pesawat Air France 447 pada 2009 merupakan antara contoh yang menyaksikan kotak hitam akhirnya ditemui meskipun memakan masa pencarian begitu panjang.

Kotak hitam milik pesawat yang terhempas di Lautan Atlantik dan mengorbankan kesemua 228 orang yang menaiki pesawat itu, hanya ditemui dua tahun selepas tragedi berkenaan.

Pakar kanan daripada Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ahmad Maulan Bardai berkata usaha mencari kotak hitam pesawat malang itu perlu dipergiatkan dengan mengenal pasti titik tepat di mana pesawat itu berada.

"Sekiranya pesawat ditemui, peluang menemui kotak hitam lebih cerah," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Mengingatkan bahawa kerosakan kotak hitam bergantung kepada impak yang dialami pesawat, beliau berkata jika perakam suara tersebut tidak mengalami kerosakan serius, data yang terkandung di dalamnya masih baik dan mempunyai peluang untuk dianalisa.

Ketahanan tinggi

Sementara itu, Jurulatih Jabatan Penyenggaraan Pesawat, Advanced Technology Training Centre (ADTEC) Datuk Ismail Ibrahim berkata kotak hitam mempunyai ketahanan amat tinggi kerana ia diperbuat daripada bahan logam yang sangat kuat dan disalut bahan kalis api.

Kotak hitam sama ada yang digunakan untuk merakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) mampu menahan impak bersamaan 3,400 kali tarikan graviti dan suhu sehingga 1,100 darjah selsius.

"Ia boleh tahan dengan suhu panas dan sejuk, tiada masalah... cuma kita tidak mempunyai idea di mana ia berada tetapi adalah penting bagi mencari perakam suara tersebut.

"Penemuan kotak hitam akan dapat memudahkan kajian dan dapat menjawab pelbagai persoalan yang menghantui semua pihak selama ini," katanya.

Beliau berkata berat kotak hitam sekitar 10kg juga tidak memungkinkan ia terapung tetapi tidak mustahil ia boleh bergerak dibawa ombak sekiranya pergerakan ombak terlalu kuat.

"Sekiranya kotak hitam itu terpisah dengan badan pesawat, ia sukar terapung meskipun ia tidak terlalu berat tetapi ia boleh bergerak.

"Berbeza dengan flaperon yang dibuat daripada bahan komposit, ia ringan dan bentuknya yang lebar membuatkan ia boleh terapung," katanya.

Semakin hampir

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata usaha mencari dalam fasa kali ini perlu dilipatgandakan supaya banyak lagi petunjuk dan bukti dapat dikumpul.

"Kalau sebelum ini keseriusan dalam misi pencarian sudah dikurangkan sedikit, tetapi kali ini semua pihak perlu mempertingkatkan dan menggerakkan kembali usaha mereka.

"Barang kali kita sudah semakin hampir untuk menemui rangka pesawat itu sekiranya kita bernasib baik tetapi ia tidak bermakna pencarian akan menjadi mudah... kalau ia berada di dasar laut dalam memang sukarlah," katanya.

Mohamed Mustafa, yang bersependapat dengan Ahmad Maulan, berkata selain mencari serpihan yang besar lain, apa yang penting kini adalah mencari kotak hitam kerana ia boleh memberi jawapan muktamad.

Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu dilaporkan hilang daripada radar ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi' berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. - Bernama

Share on Myspace