Ringgit akan menjunam jika kerajaan curiga Bank Negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Akibat krisis hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelabur telah mula meragui integriti kepimpinan negara.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keadaan bertambah parah selepas tindakan polis menyiasat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara dan sidang Jawatankuasa Kira-kira Awam ditangguhkan tatkala siasatan terhadap 1MDB rancak dijalankan.

"Ura-ura sedang rancak bahawa tindakan seterusnya akan disasarkan kepada Bank Negara. Tun Dr Mahathir Mohamad juga dapat menghidunya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ia bermula sejak kemunculan blog-blog misteri sejurus pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri yang cuba membangkitkan keraguan terhadap Bank Negara dan Gabernornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz  hangat dipromosikan di sosial media.

Katanya, jika kerajaan melakukan apa-apa yang mencemar dan menimbulkan curiga terhadap Bank Negara dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tanpa asas yang kukuh, nilai Ringgit dijangka akan menjunam lebih teruk, dan kemungkinan melepasi paras krisis kewangan 1998.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan agar berfikir sebelum bertindak dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

"Apa yang diperlukan waktu ini ialah ketelusan dan siasatan diteruskan tanpa gangguan dan bukannya tindakan membalut kertas dengan api untuk mengembalikan keyakinan pelabur," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Share on Myspace