Apakah saya mampu istiqamah hingga akhir hayat?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengingatkan para pendukung parti agar sentiasa berdoa kepada Allah.

"Berdoalah kepada Allah tanpa jemu-jemu agar Allah meneguhkan hati yang berbolak balik di atas agama-Nya dan perjuangannya," nasihat beliau menerusi facebook.

Menurutnya, doa merupakan jalan yang terbaik untuk Allah memberi kita istiqamah di dalam perjuangan.

Beliau juga mengingatkan agar jangan memandang ringan elemen doa di dalam kehidupan.

Ini, jelasnya kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud doa merupakan senjata mukmin.

Justeru, beliau gembira menziarahi jenazah pemimpin atau ahli PAS yang beristiqamah di dalam perjuangan.

"Saya cukup gembira apabila menziarahi jenazah pimpinan atau ahli PAS yang meninggal dunia kerana beristiqamah di dalam perjuangan hingga akhir hayat," ujar Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat itu.

Bagi beliau, mereka telah membuktikan kata-kata dengan amalan.

"Terlintas di hati saya, apakah saya juga mampu untuk beristiqamah sehingga akhir hayat saya. Ya Allah kepada-Mu aku memohon kekuatan," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Share on Myspace