SPRM: KSN, KPPA wajar mohon maaf secara terbuka

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengalu-alukan keputusan yang telah diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) memulangkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kembali menjalankan tugas seperti sedia kala.

"Pada saya, tidak sewajarnya mereka ditukar kerana tiada kesalahan pun yang telah dilakukan mereka berdua. Apa yang mereka lakukan ialah untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun, katanya persoalan yang perlu diperjelaskan oleh KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ialah mengapa selepas pertukaran pegawai tersebut pada 7 Ogos 2015 dan setelah berlaku kekecohan seluruh negara atas isu itu, baru dipanggil mereka untuk memberi penjelasan.

Menurutnya, mengapa tidak dipanggil pegawai tersebut selepas daripada beberapa insiden yang berlaku apabila SPRM diserang oleh PDRM yang menjadi punca kepada pertukaran secara bebal terhadap pegawai tersebut.

Justeru, ujarnya KSN dan KPPA wajar memohon maaf secara terbuka melalui media kepada pegawai tersebut kerana mereka dan keluarga serta keseluruhan kakitangan SPRM telah dimalukan sebegitu rupa, sekaligus mengalami penderaan mental dan emosi.

Tambahnya, KSN dan KPPA telah gagal menjalankan tugas secara profesional untuk melindungi pegawai yang beramanah dan berjiwa Malaysia seperti Datuk Bahari Mohammad Zin dan Datuk Rohaizad Yaakob.

"Saya menuntut kepada KSN dan KPPA jika mereka bermaruah sewajarnya mereka melepaskan jawatan yang disandang," katanya.

Baginya, negara tidak memerlukan pegawai seperti mereka yang hanya menjadi hang setia kepada Perdana Menteri bukannya kepada rakyat dan negara. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Share on Myspace