Selepas Tabung Haji, Affin Bank beli tanah TRX 1MDB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dengan menggunakan modus operandi yang sama, PAS melihat plot-plot tanah yang dimiliki oleh 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) kini dibeli pula oleh Affin Bank Bhd, sebuah subsidiari yang dimiliki penuh (100%) oleh Affin Holding Berhad.

Sebanyak 34.33% saham dalam Affin Holding Berhad dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera manakala 20.69% lagi dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad (BHB).

LTAT ialah sebuah badan berkanun kerajaan manakala Boustead Holdings Berhad merupakan salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan. LTAT memiliki 56.84% saham dalam BHB.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, ini bermakna kedua-duanya merupakan agensi kerajaan dan rakyat mempunyai kepentingan dalam institusi-institusi tersebut.

Menariknya, kata beliau Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin adalah salah seorang lembaga pengarah bagi kedua-dua institusi tersebut dan beliau juga adalah Pengerusi 1MDB.

Ini, ujarnya menunjukkan pembelian plot tanah TRX ‘terpaksa’ juga dibeli (bailed out) oleh rakyat bagi menyelamatkan syarikat hutang 1MDB.

"Ia juga melibatkan pertembungan konflik berkepentingan dalam lembaga pengarah semua institusi yang terlibat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan.

Katanya, pada bulan Mei lalu, Lembaga Tabung Haji (LTH) membeli secara kontroversi 1.6 ekar tanah di TRX dengan harga RM188.5 juta.

Namun, ujar beliau selepas dilanda beberapa bantahan rakyat, kabinet memutuskan untuk menjual semula tanah tersebut yang sehingga ke hari ini, LTH gagal menjual semula tanah itu.

Justeru, tegasnya PAS juga mendesak menyatakan Perdana Menteri sejauh mana perkembangan projek Tun Razak Exchange dan adakah ia benar-benar berjalan sepertimana yang telah dirancang atau gagal berikutan skandal kewangan yang berlaku dalam 1MDB. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Share on Myspace