Apa motif derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Perdana Menteri untuk menjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat apakah motif derma USD700 juta (RM2.6 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya oleh penderma dari Timur Tengah.

DPPWP berpandangan isu ini perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum beliau bercadang untuk mengusulkan rang undang-undang berkaitan pembiayaan dana kepada parti politik khususnya untuk pilihan raya.

Menurut Timbalan Ketua DPPWP, Nurul Islam Mohammed Yusof, derma tersebut masih meragukan dan ia telah dipertikaikan sekali lagi oleh Tun Dr Mahathir kelmarin.

Beliau berkata, sekiranya derma tersebut adalah untuk membiayai gerak kerja pilihan raya Umno, maka Perdana Menteri sendiri gagal menunjukkan kaedah yang betul walaupun pihak Pemandu di bawah Program Transformasi Kerajaan telah mencadangkan amalan terbaik mengenai political funding ini enam tahun yang lalu.

Katanya, Pemandu sendiri telah mencadangkan praktis political funding di bawah makmal korupsi bagi meningkatkan transparensi dan akauntabilti.

Tambahnya, antara cadangan tersebut ialah derma kepada parti politik mestilah dibuat atas nama dan akaun parti bukan individu serta akaun parti tersebut mestilah diaudit dan didedahkan untuk pengetahuan awam.

"Maka, isu ini perlu dijelaskan bagi mengelakkan keraguan. Sekiranya ia didermakan untuk kegunaan peribadi Perdana Menteri, sudah pasti ia mempunyai motif yang lebih besar dan ia mudah terdedah kepada rasuah," ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau jika ia bertujuan untuk operasi Umno dalam pilihan raya, maka ia tidak selari dengan cadangan Pemandu dan praktis terbaik dunia. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Share on Myspace