Kongres pacu deruan kebangkitan rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong sepenuhnya penganjuran Kongres Rakyat yang akan dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat pada 5 September ini di ibu negara nanti.

Naib Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin berkata, melihat perkembangan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia pada hari ini, maka PAS wajar merajah deruan kebangkitan rakyat yang selaras dengan tuntutan Islam berdasarkan pendekatan yang lebih segar dan kontemporari.

Katanya, DPPM menjangkakan hasil resolusi tersebut akan membentuk satu plan tindakan jangka panjang yang praktikal untuk dilaksanakan di segenap peringkat supaya perubahan yang akan dilakukan turut didukung oleh rakyat.

"Kami turut berharap agar kongres tersebut akan memberikan kesan gandaan sehingga ke negeri Sarawak dan menetaskan sekurang-kurangnya satu kerusi PAS bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak," ujarnya dalam satu kenyataan.

Di peringkat dalaman, katanya DPPM juga ingin menegaskan agar seluruh ahli dan pimpinan agar sentiasa bersiap siaga dengan memperkemaskan jentera, meningkatkan kualiti dan menstabilkan momentum perjuangan.

Pasca muktamar yang lalu, kata beliau PAS telah mengalami proses perubahan yang ketara.

Kini, tambahnya perencanaan politik akan berkembang secara berfasa.

Tegasnya, PAS bukan sebuah parti yang konservatif dan eksklusif malah ia sentiasa relevan dengan perubahan semasa.

Oleh yang demikian, ujar beliau DPPM menyeru seluruh pemuda PAS untuk memberikan komitmen yang terbaik sama ada daripada aspek idea-idea yang bernas, sumbangan dana dan kerahan tenaga.

"Insya Allah, PAS akan menerajui deruan kebangkitan rakyat untuk memastikan Malaysia yang kita cintai ini sejahtera dan lebih berjaya," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Share on Myspace