Tautan Rahmat sokong penganjuran Kongres Rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: NGO Dakwah Tautan Rahmat menyokong penuh cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu mengadakan Kongres Rakyat dalam masa terdekat bagi menghimpunkan semua pihak sama ada NGO dan rakyat keseluruhannya dalam membincang dan memikirkan bagaimana cara menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda negara.

"Cadangan itu bagi kami NGO Tautan Rahmat adalah satu cadangan yang cukup baik dan menjadi wadah kepada semua pihak mengambil berat dalam memastikan pelbagai masalah yang sedang melanda negara hari ini akibat pemimpin negara tidak beramanah dalam menerajui negara yang kita sayangi ini dapat diselesaikan dengan muafakat rakyat," kata presidennya, Ustaz Mohammad Ibrahim.

Beliau berkata, bagi pihaknya ia adalah idea yang menyeluruh dan menjadi teras kepada pembabitan semua pihak merasai hak menjadi warganegara yang cakna kepada isu ekonomi, pentadbiran, sosial dan kestabilan politik negara.

Katanya, PAS sebagai sebuah parti ulung di negara ini telah mengalami pelbagai pengalaman sejak merdeka dan insya Allah dengan kehadiran PAS menganjurkan Kongres Rakyat.

"Kami di Tautan Rahmat amat yakin bahawa parti Islam ini mampu menghimpun solusi dan resolusi semasa kongres nanti untuk dihadam menjadi pelan bertindak rakyat menyelamatkan negara," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Presiden PAS atas idea dan cadangan bernas itu.

"NGO Tautan Rahmat sekali lagi menegaskan sokongan penuh kepada cadangan ini, Allahu Akbar," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace