Muslimat PAS Sarawak sedia hadapi pilihan raya negeri

IZWAN ABDUL HALIM | .

SIBU: Bidikan tepat anak panah pada sasaran peta Negeri Sarawak menjadi simbolik pembakar semangat Dewan Muslimat PAS negeri untuk bergerak kerja pada pilihan raya negeri (PRN).

Panahan tersebut disempurnakan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika merasmikan Himpunan Jentera Muslimat PAS Sarawak, di sini 9 Ogos lalu.

Himpunan tersebut melibatkan penyertaan muslimat PAS dari seluruh pelosok negeri meliputi Limbang sehingga Kuching di mana telah memberi gambaran positif kesediaan dalam menempuhi PRN yang bakal tiba pada bila-bila masa sahaja.

Terdahulu, sehari sebelum himpunan, Jentera Muslimat PAS Sarawak telah turun ke Dun Beting Maro dalam program Gerak Gempur Beting Maro.

Tujuan utama program ini adalah untuk Muslimat PAS Sarawak turun ke medan bertemu mata dengan pengundi di Beting Maro bagi meyampaikan sumbangan kepada golongan moswa.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS negeri, Dayangku Huda Ahmad, kedatangan Jentera Muslimat PAS Sarawak ke Dun Beting Maro disambut baik oleh penduduk setempat.

Katanya, dengan harapan yang menggunung tinggi, penduduk Dun Beting Maro meluahkan rasa gembira dan berbesar hati menerima kehadiran PAS.

“Mereka juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan kewujudan GST yang diperkenalkan oleh Kerajaan BN, yang mana menjerut leher peniaga-peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah di sekitar Dun Beting Maro khususnya dan Malaysia amnya,” ujar beliau.

Gerak Gempur diakhiri dengan Munajat Perdana dan Taujihat Khas oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Dr Uswah Tahir.

Dr Uswah dalam ucapannya menekankan kepentingan kefahaman bergerak kerja dalam jamaah Islam dan mengingatkan kembali jentera muslimat mengenai keberadaan PAS dalam pilihan raya. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace