GST bebani projek rumah mampu milik

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) projek rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan Kelantan tidak mampu lagi dipertahankan dengan harga lama.

Kenaikan harga bahan-bahan binaan selepas 1 April lalu menyebabkan harga lama ditawar kerajaan negeri tidak mampu dikekalkan lagi.

Harga lama sebelum ini iaitu rumah kos rendah berharga RM46,000; kos sederhana rendah RM65,000 dan sederhana RM99,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata selepas mengambil kira kesan GST kerajaan negeri menetapkan harga baru bagi rumah sederhana rendah iaitu RM85,000 dan sederhana RM130,000.

“Hanya rumah kos rendah dikekalkan harga lama. Harga baru berkuatkuasa sebelum Hari Raya lalu. Bagaimanapun projek rumah yang telah dilancar masih kekal harga lama kerana ketika itu GST sebelum dilaksana.

“Jadi kerajaan negeri akan menanggung kos subsidi lebih besar ekoran adanya GST terhadap projek tersebut,” katanya di sini.   

Sebelum ini pemimpin kerajaan pusat berulang kali mendakwa GST tidak menjejaskan harga rumah, namun apa yang berlaku sekarang di sebaliknya.

Abdul Fattah berkata kerajaan negeri sangat-sangat terasa kesan selepas GST dilaksanakan.

“Di Malaysia GST bermula dengan 6 peratus sedangkan di Singapura hanya 3 peratus sahaja. Yang akan menanggung segala kenaikan itu ialah pembeli kalangan rakyat berpendapatan rendah,” katanya di sini.

Kata beliau pemaju memberitahu mereka tidak mampu lagi membangun rumah dengan harga lama yang ditetapkan kerajaan.

Projek rumah mampu milik yang dilaksanakan di Kelantan iaitu di Badang Jalan Pantai Cahaya Bulan dan Bukit Mas, Tanah Merah.

Sementara itu seorang peniaga getah dari Jeli memberitahu dalam tempoh tiga bulan selepas GST dilaksanakan beliau terpaksa membayar cukai itu sehingga lebih RM100,000.

Beliau yang enggan dikenali berkata, GST benar-benar merencatkan perniagaan orang Melayu terutamanya yang berskala serderhana di kampung.

“Cuba bayangkan sejak GST dilaksanakan saya terpaksa membayar ciptaan pemimpin Umno itu lebih RM100,000 dalam tempoh tiga bulan.

“Ramai peniaga yang tidak mampu bertahan berikutan pelaksanaan GST. Selain terpaksa membayar cukai banyak, saya juga terpaksa membayar gaji kerani akaun dan membeli software komputer.

“Ini menyebabkan kos syarikat bertambah berkali ganda lagi,” katanya. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace