Kongres Rakyat solusi tepat tangani krisis

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menyokong penuh saranan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyeru supaya digerakkan satu Kongres Rakyat untuk membincangkan kemelut yang melanda rakyat Malaysia pada hari ini.

Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata ini bertitik tolak daripada kefahaman ayat Al-Quran supaya negara ini tidak mengundang bencana yang lebih parah.

Allah s.w.t Taala telah memperingatkan kepada kita di dalam surah Ar-Rom ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

"Telah berlaku kerosakan dan kemusnahan di daratan dan lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia (yang tidak amanah), (kerosakan itu) adalah sebahagian balasan yang Allah timpakan ke atas mereka dengan sebab sebahagian penyelewengan dan dosa yang dilakukan oleh mereka, mudah-mudahan dengan balasan itu menyebabkan mereka kembali ke pangkal jalan."

Katanya, Kongres Rakyat merupakan manifestasi kematangan politik yang ditunjukkan oleh PAS dengan menggembleng seluruh cendikiawan dan aktivis daripada pelbagai latar belakang dalam mencari solusi terbaik untuk menangani krisis yang sedang dihadapi negara sekarang.

Katanya lagi, ketika mana Umno sudah kehilangan keyakinan di kalangan rakyat awam daripada seluruh lapisan masyarakat, PAS hadir dengan mengemukakan pelan tindakan yang paling matang dan bernas supaya Malaysia dapat diselamatkan daripada menuju ke arah lebih parah.

"Sudah tiba masanya seluruh bijak pandai daripada pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran dihimpunkan supaya setiap buah fikiran bernas mereka tidak disia-siakan dan kita berharap agar segala resolusi kongres tersebut digunakan semaksimum mungkin dalam menyelamatkan tanahair Malaysia yang tercinta ini," katanya.

Tambahnya, tuntutan berkongres untuk mencari penyelesaian ummah adalah merupakan satu tuntutan agama yang senantiasa meletakkan al hikmah dan kebijaksanaan sebagai penyelesai kepada kemelut melanda negara kita sekarang ini.

"Mudah-mudahan ijtihad siyasi ini menjadi pencetus permulaan 'al-fath' yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk mentadbir amanah dunia ini ke arah mewujudkan 'baldatun toyyibatun warabbun ghafur'," ujarnya yang juga Bendahari PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace