Boleh berhenti jadi ahli tapi jangan sabotaj PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menghormati mana-mana ahlinya yang keluar daripada parti itu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS iaitu setiap ahli ada hak untuk berhenti menjadi ahli PAS.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menasihatkan mana-mana ahli parti yang mempunyai perasaan tidak senang dan tidak selesa dengan PAS jangan sekali-kali mensabotaj parti.

"Kalau ada mana-mana ahli hendak berhenti kita hormati, begitu juga yang letak jawatan sama ada dipilih atau dilantik dan tidak dapat laksanakan amanah juga kita hormati.

"Tetapi kita nasihatkan kepada mereka yang tidak senang dengan PAS jangan sekali-kali mensabotaj parti atau melemahkan dan melumpuhkan parti.

"Apatah lagi kita sebagai orang Islam kerana ianya satu tindakan yang tidak amanah dengan tanggungjawab kita. Jangan sampai sabotaj parti," katanya ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Malah katanya, dari segi peraturan, PAS boleh mengambil tindakan kepada mana-mana ahli yang mensabotaj parti kerana tidak melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.

"Sebagai contoh, dia pegang jawatan tetapi tidak hadir mesyuarat, tidak jalankan aktiviti, atau menganggap PAS tidak betul tetapi masih dalam parti.
 
"Kita bagi ingatan kerana ianya di dalam perlembagaan ada sebut, merugikan parti merupakan satu kesalahan," tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Sehingga kini, katanya telah menerima 10 aduan dari seluruh negara dan sedang menyiasat dengan teliti bagi memastikan setiap aduan yang diterima mestilah tulen dan berasas.

"Mesti dapatkan bukti serta keterangan yang menyokong aduan, kerana kita tidak mahu orang yang dituduh tanpa bukti. Kita tidak gopoh ambil tindakan ke atas ahli, kita ambil kaedah yang adil iaitu beri peluang untuk jawab pertuduhan," katanya.

Beliau berkata demikian ekoran tindakan beberapa pimpinan parti meletakkan jawatan dan ada yang bertindak keluar daripada parti itu. - HARAKAHDAILY 12/8/2015

Share on Myspace