Felda bukan milik peribadi Umno, Najib

ROSLAN MD ESA | .

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak nyata begitu terdesak hingga mengadakan pengumuman mahu menjadikan Felda sebagai benteng terkuat Umno BN.

Ternyata kenyataan itu menimbulkan episod baru kecurigaan ke atas beliau yang kini dihimpit skandal RM2.6 bilion di mana antara pandangan banyak pihak adalah bakal menjadi rasuah politik untuk mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum kelak.

Kecurigaan ini wajar dalam kedudukan kawasan Felda di seluruh negara adalah berjumlah 54 Parlimen. Jika benar, maka ia ternyata usaha menyelamatkan diri dengan mengaut segala kebobrokan tanpa mempedulikan maruah dan harga diri serta integriti semata-mata mengekang diri dari terkubur.

Felda dijadikan talian hayat terakhir untuk Najib menyusun rentak dan dijangka sanggup 'meleburkan' segalanya demi mendapat balasan setimpal iaitulah undi dari warga Felda.

Memandang serius perkara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Najib bahawa BN sudah lama memperalatkan warga Felda hingga akhirnya banyak kepentingan warganya tergadai. Antaranya idea dan jaminannya meletakkan FGV ke Bursa Saham Malaysia menyaksikan kini peneroka menanggung kesan kerugian ketara.

Sedangkan ketika sama pihak pengurusan tertinggi Felda dan seluruh pegawainya kekal menikmati laba dari janaan penat lelah peneroka sejak puluhan tahun. FGV menjadi petanda jelas kepada keperitan hidup rakyat yang dicetuskan dari keborosan dan tidak amanah pemimpin BN.

Kebangkitan rakyat dalam PRK Rompin awal tahun ini memperlihatkan suatu signal jelas khususnya warga Felda bahawa mereka tidak mahu lagi tertipu dengan dakyah Umno BN. Sedangkan mereka sentiasa berdepan kesusahan akibat dasar menindas Umno BN dan kapitalis FGV yang sedia menghirup darah serta perit jerih warga Felda.

Peruntukan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) bernilai RM1.4 billion mula dikhianati. Harapan generasi kedua Felda memiliki rumah sendiri terbantut apabila projek ini diumumkan Tan Sri Isa Samad telah ditangguh.

Peringkat pertama program PGBF menjanjikan 20,000 unit rumah akan dibina di tanah rancangan terpilih seluruh negara, namun hanya sekitar 8500 unit sahaja berjaya dibina dengan peruntukan yang besar ini.

Paling menyedihkan, sebahagian dari 8,500 unit yang dibina ini pula tidak semua siap sepenuhnya dan diduduki. Difahamkan banyak masalah timbul dan paling utama faktor harga yang mahal, mekanisma kelayakan pemohon dan kegagalan kontraktor.

Demikian itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Najib menghentikan pembohongan beliau dengan umpan beracun yang disumbat ke mulut warga Felda.

Anak-anak generasi kedua Felda kini sudah tidak lagi percaya dengan dogma palsu Najib untuk terus memperjudikan nasib mereka.

Anak Felda tidak mahu tanah warisan kami yang diilhamkan pemberiannya ini oleh ayahanda kepada Najib iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak akhirnya tergadai kerana kerakusan Najib serta kerajaannya.

Kami nasihatkan Najib agar menyelesaikan terlebih dahulu skandal derma RM2.6 bilion selain pelbagai skandal lain khasnya keparahan ekonomi negara dengan nilai RM kini kian merudum (1USD-RM4) serta pelbagai masalah yang dihadapi negara. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace