Sistem penilaian iCGPA tiada pembaharuan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan projek perintis penilaian baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) di lima buah universiti awam yang terpilih sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, kelmarin.

"Walau bagaimanapun, DPPM melihat sistem penilaian yang meliputi sembilan aspek dengan menggunakan kaedah spider web tersebut bukan sesuatu yang baharu bahkan ia sebenarnya telah menjadi hasrat kualiti graduan yang diharapkan sebelum ini," ujar Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Kebiasaannya, kata beliau sebelum sesuatu modul kurikulum tersebut dibentuk, maka pelbagai aspek akan dititikberatkan untuk diserapkan kepada para pelajar seperti yang terdapat dalam Bloom Taxonomy yang merangkumi kognitif, afektif dan psikomotor.

"Persoalannya, adakah ia benar-benar memenuhi matlamat tersebut?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi seharusnya melihat kepada faktor-faktor yang menghalang potensi seseorang mahasiswa dikembangkan.

Tambahnya, tidak semua mahasiswa mempunyai kecenderungan yang sama dan universiti bukan hanya sekadar untuk memenuhi keperluan industri semata-mata.

Justeru, ujarnya DPPM menyarankan agar pihak kementerian harus peka terhadap pemasalahan semasa dan melihat secara komprehensif bagaimana mempersiapkan generasi Malaysia terutamanya bagi memiliki jatidiri yang lebih ampuh untuk mendepani cabaran yang lebih besar di hadapan kelak. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace