PAS semakin penting dalam politik Sarawak

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUCHING: Keberadaan PAS di negeri Sarawak tidak lagi dipandang enteng, bahkan kekuatannya semakin mendapat perhatian dalam politik negeri ini, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Jelasnya, walaupun usia PAS negeri baru mencecah 20 tahun, tetapi parti itu melalui perkembangan yang cepat di mana antara hasil dan kekuatannya terlihat pada keputusan pilihan raya.

“Kita hampir memenangi pilihan raya di Dun Beting Maro. Kita betul-betul telah mengejutkan PBB, parti yang memerintah negeri Sarawak dengan capaian undi yang begitu banyak. Akhir sekali parti pemerintah telah mengubah sikap mereka terhadap PAS.

“Beting Maro telah memperolehi kemajuan yang agak elok. Mereka sedar bahawa kekuatan PAS bukan lagi enteng, bahkan menjadi satu kekuatan yang perlu diperhatikan dalam politik negeri Sarawak,” ujarnya pada Himpunan Jentera Pemuda PAS Negeri Sarawak di sini, kelmarin.

Menurut beliau, secara rasmi di atas kertas PAS akan bertanding enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi, namun akan terus berbincang dengan rakan-rakan parti pembangkang lain untuk menambahkan lagi kerusi ditandingi hingga 10 kerusi.

Terangnya, tindakan itu bermakna PAS akan bertanding di kerusi baru yang bukan sahaja bermaksud memperkenalkan PAS kepada pengundi, tetapi juga meluaskan pengaruh PAS dari masa ke semasa.

“PAS apabila masuk ke sesuatu kawasan, ke sesuatu tempat, PAS akan memberi suatu yang baru kepada pengundi. Kerana PAS bukan seperti parti-parti lain. Agenda PAS adalah berbeza, matlamat PAS berbeza, kerana PAS membawa agama, PAS membawa Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace