Sebuah lagi rumah mangsa banjir runtuh

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Trauma akibat banjir tahun lepas belum lagi reda, namun rumah kekal yang diharap dapat menggantikan kediaman yang dihanyut arus, tiba-tiba runtuh menyembah bumi.

Malam tadi sebuah lagi rumah kekal dalam pembinaan runtuh ketika hujan lebat.

Penghulu Mukim Manjor Selatan, Mohd Zamri Hassan berkata runtuh tersebut yang siap kira-kira 60 peratus runtuh keseluruhan strukturnya.

Katanya, rumah berkenaan yang dibina dengan tiang setinggi lapan kaki dimulakan sebelum Ramadan lalu.

“Kira-kira jam 8 malam tadi ketika hujan lebat rumah itu runtuh ekoran tiang yang dibina turun akibat tanah jerlus.

“Tiang yang dibina memang tidak sepadan dengan ketinggian rumah. Malah tiangnya tidak banyak bagi menongkat struktur lantai.

“Langsung tiada tiang di bahagian tengah cuma ada tiang di tepi sahaja. Kalau diambil kira saiz tiang memang tidak sepadan,” katanya di sini.

Pada awal Mei lepas sebuah rumah di Kampung Bedal, Dun Mengkebang juga runtuh ketika sedang dalam pembinaan.

Rumah tersebut yang disumbang syarikat korporat dari Kuala Lumpur difahamkan berada di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehingga kini dua rumah kekal mangsa banjir bertiang tinggi di bawah projek kerajaan persekutuan runtuh di Kelantan.

Mohd Zamri berkata, rumah tersebut milik keluarga Mohd Azwan Alwi dibina di tapak milik keluarganya di Kampung Laloh.

Difahamkan di kampung tersebut terdapat 20 rumah di bawah projek kerajaan persekutuan dibina di Laloh. Kesemuanya masih lagi dalam pembinaan. Setiap rumah melibatkan kos lebih RM60,000.

Manakala kerajaan negeri pula sudah menyiapkan 10 rumah yang diduduki mangsa banjir akhir Ramadan lepas.

“Terdapat sebanyak 95 rumah yang rosak sama sekali di Laloh pada kejadian banjir besar melanda hulu Kelantan pada akhir tahun lepas,” ujar Mohd Zamri. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace