Penduduk di sempadan rasai kesan RM menjunam

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Malaysia berdepan suasana ekonomi kurang selesa ekoran kejatuhan teruk Ringgit sehingga boleh mendorong pelabur memilih menyimpan dalam bentuk Dolar.

Prof Madya Dr Abdul Rahim Anuar dari UUM berkata keseluruhan sektor berdepan dengan kemelut apabila RM semakin merosot.

“Kerajaan tidak boleh hanya melihat sektor pelancongan sahaja yang dianggap menguntungkan. Tetapi keseluruhan sektor lain akan terjejas,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum itu beliau membentang kertas kerja pada Dialog Strategik Merakyatkan Pembangunan Ekonomi Kelantan di Kota Darulnaim hari ini.

Program tersebut dianjur Pusat Kajian Strategik (PKS). Hadir sama Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Pengarah PKS, Dr Wan Nik Wan Yussof.

Petang semalam Ringgit mencecah paras 4.0 berbanding Dolar Amerika Syarikat. Situasi itu berlaku buat pertama kali sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lepas.

Bagaimanapun Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan memberitahu beliau merupakan antara individu yang paling gembira apabila nilai ringgit mengalami kejatuhan.

Menurutnya pelancong dari negara yang nilai wangnya lebih besar seperti United Kingdom dan Eropah akan membelanjakan wang mereka di Malaysia kerana nilai pertukaran yang tinggi.

Dr Abdul Rahim berkata kejatuhan Ringgit lebih mendorong pelabur akan menyimpan wang dalam bentuk Dolar atau emas.

Kata beliau antara faktor kejatuhan Ringgit kemerosotan harga minyak di peringkat global, imbangan defisit besar kerajaan dan persepsi negetif pengurusan negara sekarang.   

“Paling terasa mereka yang tinggal di kawasan sempadan termasuk di Kelantan. Penduduk tentunya berdepan dengan kesukaran kerana nilai makin Ringgit rendah berbanding  Baht Thailand,” katanya. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace