Zeti akan terus berkhidmat hingga tamat tempoh

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini mematikan cakap-cakap bahawa beliau akan meletak jawatan atas sebab-sebab kesihatan, sebaliknya akan berkhidmat sehingga tamat tempoh perkhidmatan penuhnya.

"Saya tidak ada masalah kesihatan," kata Gabenor berusia 68 tahun itu yang tempoh semasa perkhidmatan lima tahunnya berakhir pada 30 April tahun depan.

Menurutnya doktor beliau memaklumkan bahawa jantungnya sangat kuat dengan arteri sangat bersih dan tidak menemui apa-apa yang bermasalah.

Zeti yang berkhidmat sebagai gabenor BNM sejak Mei 2000, berkata demikian semasa ditanya mengenai spekulasi ke atas kesihatannya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan Keluaran Dalam negara Kasar suku kedua Malaysia di sini hari ini, beliau berkata BNM juga mempunyai pelan penggantian yang padu.

Pada 2013, Zeti diletakkan dalam ranking 'Gred A' sebagai antara gabenor bank pusat terkemuka buat kali ke-10 oleh majalah Global Finance.

Turut sama dalam ranking itu ialah Gabenor Bank Pusat Filipina, Amando Tetangco, Jr. dan Gabenor Bank Pusat Taiwan Perng Fai-nan, daripada senarai gabenor bank pusat 50 negara utama.

Menurut Global Finance, gabenor-gabenor bank pusat dinilai atas daya usaha mereka bertahan daripada campur tangan politik dan tindakan mereka mempengaruhi kerajaan masing-masing dalam isu seperti perbelanjaan dan keterbukaan ekonomi sehinggalah kepada pelaburan asing dan perkhidmatan kewangan.

Penggredan dilakukan pada skala 'A hingga F' dalam bidang seperti matlamat pertumbuhan ekonomi, kestabilan semasa dan pengurusan kadar faedah. - Bernama

Share on Myspace