GST: Gamis kecam UIA gantung dua pelajar

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengecam tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang mengenakan tindakan terhadap dua orang pelajarnya hanya kerana menganjurkan program GST.

Menurut Presiden Gamis Mohd Imran Md Ishak kedua-dua pelajar tersebut disabitkan kesalahan dan dihukum gantung pembelajaran selama dua semesta beserta amaran keras.

Dua orang tersebut adalah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Hanif Mahpa dan Pengerusi Sekretariat Akademik dan Intelektual Majlis Perwakilan Pelajar Afiqah Zulkifli.

"Dalam keadaan negara yang membimbangkan pada hari ini, pentadbiran UIA telah menambahnya lagi dengan menghuru-harakan keadaan apabila mengambil keputusan menggantung mereka atas alasan menganjurkan program GST tanpa kebenaran pihak universiti..

"Walaupun ianya pada asalnya sudah pun mendapat kebenaran, tetapi ianya tidak dibenarkan pada saat-saat akhir atas arahan daripada 'orang atas'," katanya menerusi laman facebook.

Gamis turut menggesa agar pihak universiti membatalkan hukuman tersebut dan menyeru kepada seluruh mahasiswa agar bersolidariti bersama-sama dua orang rakan mereka itu.

Justeru katanya, satu memorandum akan dihantar kepada pihak universiti menuntut supaya hukuman itu dibatalkan.

Tambahnya, satu 'Himpunan Mahasiswa' akan diadakan dalam masa terdekat sekiranya pihak universiti masih meneruskan hukuman tersebut kepada mereka.

"Diharapkan seluruh mahasiswa dapat bersedia turun berhimpun di dalam UIA dalam masa terdekat ini," katanya. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Share on Myspace