PAS Pahang sokong peneroka mohon lesen bauksit

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: PAS Pahang tidak ada masalah jika kerajaan negeri meluluskan lesen perlombongan bauksit kepada peneroka asalkan kerajaan melakukan prosedur yang betul termasuk penguatkuasan operasi.
 
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu berkata pendirian PAS ialah tidak menyekat punca pendapatan dan ekonomi tuan tanah namun pada masa yang sama tidak mahu ada rakyat yang susah akibatnya.
 
Beliau yang juga Adun Beserah berkata demikian mengulas permohonan 268 peneroka dari Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan kepada Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob semalam bagi melombong bauksit.
 
Media melaporkan, permohonan berbentuk memorandum tersebut diserahkan oleh wakil peneroka Datuk Abdul Wahid Ab Manap kepada Adnan di pejabatnya.
 
“Peneroka selaku tuan tanah berhak memohon lesen, kita tiada halangan sebab selama ini ada juga peneroka yang ditipu oleh pengusaha dan ada juga syarikat yang mengusahakan secara haram tenpa lesen.
 
“Cuma PAS minta kerajaan mesti melaksanakan prosedur dengan betul kemudian pada masa yang sama paling penting kita juga minta agensi-agensi melakukan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang ada.
 
“Masalah yang diperjuangkan sekarang ialah orang ramai terganggu dengan pencemaran alam akibat pengangkutan tiada kawalan bahan logam itu sehingga menyebabkan jalan raya menjadi amat berdebu kotor sepanjang jalan Bukit Goh ke pelabuhan selain menjejaskan kesihatan ramai,” katanya.
 
Andansura berkata demikian kepada media selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Perhubungan PAS Pahang di sini.
 
Beliau yang juga pengerusi Gerakan Bertidak Anti Pencemaran Bauksit (Geram) berkata, akibat kurang penguatkuasaan sering menyebabkan berlaku kemalangan maut melibatkan lori pengangkut bauksit dan ini amat membimbangkan penduduk berkaitan.
 
Andansura berkata, pihaknya pernah memanggil agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan pengusaha duduk berdialog dalam satu majlis.
 
“Tetapi hanya tiga agensi saja yang datang Spad, JPJ dan Jabatan Kesihatan. PTD tak datang, Jabatan Alam Sekitar tak datang, pejabat daerah tak datang, JKR tak datang jadi bagaimana nak selesaikan masalah pencemaran yang sangat serius itu.
 
“Sebab itu kita kata kita tidak sekat sumber ekonomi sama ada peneroka, pengusaha mahupu kerajaan tetapi jangan susahkan rakyat, jangan cemar alam sekitar tetapi sehingga kini  penguatkuasaan masih tak berkesan.
 
“Pihak kami pernah mengadu kepada Jabatan Alam Sekitar mereka kata tiada kuasa, pergi pada JPJ kata dia keluar lesen saja, pergi pada Spad dia kata itu kuasa MPK, jadi tak selesai,” ujarnya.
 
Andansura berkata, jika penguatkuasaan masih gagal pihaknya tidak ada pilihan melainkan terpaksa meminta solidariti rakyat, suara rakyat untuk membetulkan keadaan termasuk melakukan halangan atau protes secara berterusan.
 
Katanya, jika ini terjadi kedua-dua pihak pelombong dan kerajaan akan turut susah justeru untuk menyelesaikannya mestilah dipastikan semua pihak mestilah betul-betul bertanggungjawab terutama setiap agensi yang memantau. - HARAKAHDAILY 13/8/2015
 

Share on Myspace