Gantung 2 pelajar, motto UIA hanya retorik

HARAKAHDAILY | .

We Unite For Islam (WUFI) menyatakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap tindakan Pentadbiran UIAM yang menjatuhkan hukuman gantung dua semester terhadap Presiden SRC IIUM Saudara Hanif Mahpa dan Exco SRC IIUM Saudari Afiqah Zulkifli.

Mereka didapati bersalah kerana menganjurkan Forum GST yang menampilkan Lokman Adam dan Rafizi Ramli pada 13 Mei 2015 lalu.

Forum ini kononnya tidak mendapat kelulusan universiti sedangkan hakikatnya pihak atasan hanya mengharamkan Rafizi daripada menyampaikan ucapan. (Boleh rujuk kenyataan pihak Keselamatan UIAM semasa forum itu dilaksanakan)

Ini merupakan satu lagi tindakan tidak bermaruah daripada sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa apabila tidak meraikan semangat para pelajar untuk menganjur, menghadiri dan menilai diskusi intelektual berkenaan isu-isu negara.

Tindakan ini secara jelas mencerminkan kesamaan sifat bobrok, penindas, perampas pihak universiti dan kerajaan Malaysia yang sering merampas dengan rakus hak kebebasan.

Dari pentadbiran universiti sehinggalah pentadbiran negara, keduanya mahu melahirkan rakyat yang buta, tuli dan menjadi pak turut setia.

Tindakan ini juga membuktikan bahawa motto rasmi UIAM iaitu Taman Ilmu dan Budi (The Garden Of Knowledge And Virtue) hanyalah retorik dan penipuan yang amat jelas.

Di peringkat luar, UIAM yang terkenal dengan kehebatan pasukan debat yang sering memenangi pertandingan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Hakikatnya adalah menyedihkan apabila di dalam universiti sendiri para pelajar dihalang daripada berdiskusi, berdebat dan berforum.

Oleh yang demikian, WUFI mendesak pihak pentadbiran UIAM untuk menarik semula tindakan ini dalam masa dua puluh empat (24) jam.

Kegagalan pihak universiti untuk menarik balik tindakan ini akan sekali lagi memburukkan nama univerisiti.

WUFI akan melancarkan pungutan suara kerana kami yakin ribuan pelajar UIAM tidak bersetuju dengan tindakan tidak masuk akal ini.

Kami juga tidak teragak-agak untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran jika tuntutan ini gagal dipenuhi. - HARAKAHDAILY 13/8/2015

Azzan Aznan Abdul Rahim
Pengerusi WUFI

Share on Myspace