Buat rakan yang sudah tawar hati dengan PAS

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

SAYA alu-alukan pemegang jawatan dalam parti PAS yang telah tawar hati dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS hari ini untuk keluar daripada PAS. Itu sebahagian daripada jalan penyelesaian paling aman, dihormati, budiman dan boleh dikira sebagai 'penyelesaian bersama'.

Ramai bertanya saya, bagaimana isu dalaman PAS akan cepat berakhir? Saya jawab, apabila penyakit itu keluar dengan sendiri tanpa perlu dibedah buang.

Gagal patuh pada arahan parti adalah penyakit. Mana ada parti boleh maju jika arahan parti tidak didengar?

Tiada pahala lagi buat anda jika anda kekal dalam PAS dengan terus memegang jawatan dalam parti yang diamanahkan ke atas anda oleh ahli PAS. Anda tidak lagi mampu melaksanakan program dan arahan parti. Dan jika anda laksanakan pun, anda laksanakan untuk tujuan sebaliknya, mempromosi gerakan lain dan menghodohkan wajah PAS. Macam mana nak dapat pahala?

Pahala mudah saja. Laksanakan amanah. Dosa pun mudah. Khianati amanah.

Dalam jamaah Islam, kita wajib dengar dan patuh pada ketua. Itu nas dalam al-Quran. Jika kita tak puas hati, kita tegur. Jika tegur kita tak didengar, kita boleh lawan ketika ruang tukar pemimpin dibuka untuk kita iaitu di muktamar dan pemilihan parti setiap dua tahun. Itu syarie dan demokratik.

Jika kita sudah hilang kepercayaan, tak boleh lagi dengar dan tak boleh lagi patuh, maka kita kena letak jawatan. Tak payah pun nak letak jawatan. Ia kerja 'volunteer'. Tak payah juga nak tukar ke jamaah lain. Itu hak kita pun.

Orang nak tuduh apa, itu tuduhan. Anda tak salah pun. Salah anda ialah kekal dalam jamaah atau parti yang anda telah hilang kepercayaan sehingga gagal lagi untuk dengar dan patuh arahan ketua, bahkan mensabotaj parti dengan menggunakan jawatan yang anda pegang untuk merosakkan parti.

Orang lain boleh mempersoal jamaah baru anda, syarie atau tidak. Anda pun berhak mempertahankan 'ijtihad' anda keluar PAS. Syarie atau tidak. Tetapi anda tak punya sedikit pun hujah syarie untuk kekal dalam PAS, dan dengan amanah jawatan yang anda masih pegang itu, anda gunakan untuk sabotaj PAS. Itu khianat dan tidak ada khianat sejelas itu.

Kecuali anda sudah menganggap PAS sudah mengkhianati Islam dan memusuhi Islam. PAS sudah bertukar menjadi musuh ugama dan umat. Ketika itu, pasti anda memiliki hujah untuk meruntuhkan PAS dari dalam. Nabi pun pernah menghancurkan musuh ugamanya dengan menghantar jenteranya ke dalam jentera musuh.

Tetapi, hujah anda perlu cukup kuat untuk mengatakan PAS adalah musuh Islam, lalu anda punya hujah syarie yang lumayan untuk khianati PAS daripada dalam.

Mampukah anda? PAS sudah tinggalkan al-Quran dan al-Sunnah? PAS sudah bersekongkol dengan musuh ugama? PAS sudah mentakfirkan sesama muslim atau sudah menghalalkan darah sesama muslim? Semua itu sesat. Adakah anda temuinya dalam PAS?

Maksud saya, sebelum anda berhasrat memanjangkan masa untuk terus bersama PAS dengan terus memegang jawatan parti dengan tujuan mengkhianati PAS dari dalam, anda perlu dulu bersandar pada ijtihad yang lebih kritikal dan sukar berbanding ijtihad 'berhijrah' ke parti atau gerakan baru. Yang ini lebih mudah. Kitab-kitab pun banyak boleh dirujuk.

Untuk mendapat petunjuk daripada kitab-kitab bahawa PAS telah mengkhianati ugama, saya fikir kitab itu belum dikarang lagi.

Justeru saya sarankan anda perlu segera keluar PAS. Anda akan dihormati. Makin cepat makin dihormati. Semua faham bahawa anda lakukannya dengan budiman dan penuh tanggung jawab. Yang menuduh bukan-bukan terhadap tindakan anda, saya kira mereka bodoh dan tiada ilmu di dada. Mereka tidak sedar bahawa itulah cara anjuran ugama. Tinggalkan amanah yang tak tertanggung dan berikannya kepada yang bersedia menanggungnya. Itulah kemuliaan.

Anda dikenali kerana anda berada di atas sebagai pemimpin. Anda dipuji dan dipuja. Tahukah anda, orang lain tertahan daripada dikenali dan dipuji kerana wujudnya anda di jawatan itu? Jawatan hanya satu. Daripada sepuluh, seratus atau seribu yang berhak, hanya satu yang boleh ke jawatan itu. Anda orangnya hari ini. Anda tentu tahu mengapa anda diberi jawatan itu kan? Kerana mereka yakin anda akan laksanakan amanah. Jika tidak, pasti mereka memilih yang lain daripada sepuluh, seratus atau seribu yang sedia menanti itu.

Antara amanah ialah laksanakan arahan ketua yang lebih atas. Atau, sekurang-kurangnya anda tidak mengkhianati mereka dengan cara yang salah di sisi ugama, apatah mensabotaj parti.

Lihat, PAS kini memiliki nama-nama baru sebagai pemimpin. Dalam masa yang pantas, mereka sudah dikenali di mana-mana dan sedikit masa lagi mereka mungkin mampu membuktikan bahawa mereka adalah lebih baik daripada anda. Mereka hanya menunggu di belakang selama mana anda berada di depan memegang amanah itu. Mereka tidak kisah pun mereka tidak dikenali kerana wujudnya anda di depan.

Justeru bagi anda yang belum meletakkan jawatan, gagahkan diri anda dengan berkata, "Di belakang aku masih ada sepuluh, seratus atau seribu orang lagi yang bersedia mengganti dan mengambil amanah ugama ini untuk memimpin umat di saf hadapan".

Ini adalah penyelesaian bersama yang memudahkan kedua-dua pihak yang pernah bersama kerana Allah. Biarlah berpisah pun 'keranaNYA' juga. Penuh pahala insya Allah.

Krisis dalam PAS sudah berakhir dengan masing-masing telah berkeputusan. Sama ada kekal di bahtera asal walau apa badai melanda atau turun dan naik bahtera baharu. Tidak boleh sama sekali anda menebuk bocor bahtera lama untuk anda beralasan, "Saya berhijrah ke bahtera baru kerana bahtera lama telah bocor".

Saya menulis sebagai ingatan agar tiada khianat secara sengaja. Saya juga masih dalam rasa sedih berpisah. Anda adalah abang dan kawan saya dulu. Biar kekal kawan walau berjauhan. Allah, di tangan-Nya ajal dan tempat hujung setiap sesuatu.

"Bagi setiap berita itu, ada ajal hujungnya. Dan kamu semua pasti akan mengetahuinya." (al-ayat) - HARAKADAILY 14/8/205

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace