1MDB: Kenapa lantik PAC perlu tunggu 19 Okt?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan satu isu kecil kerana membabitkan wang RM42 bilion, bukan satu jumlah yang kecil terutama ketika negara mengalami kemerosotan nilai ringgit, peningkatan kos sara hidup dan krisis keyakinan pelabur.

"Sehingga kini jawapan mengenai 1MDB masih tidak meyakinkan rakyat. Jika bekas Timbalan Perdana Menteri pun keliru, apatah lagi kita rakyat jembel," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Persoalannya, kata beliau kenapa pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu tunggu sehingga 19 Oktober depan.

Tambahnya, ia terlalu lama semenjak 28 Julai lalu ketika rombakan kabinet, hampir dua bulan setengah PAC tidak boleh bersidang kerana ketiadaan pengerusi dan tiga anggota yang telah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Menurutnya lagi, semuanya ini mengundang spekulasi yang berbagai, akhirnya yang hancur negara dan rakyat apabila ia memberi kesan kepada pelabur untuk melabur.

Justeru, beliau mempersoalkan siapa yang rugi kerana rakyat tidak ada orang yang sudi untuk menderma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

"Jika Datuk Seri Najib serius untuk menghentikan polemik ini beliau perlu segera memanggil sidang parlimen untuk menyelesaikan isu ini dengan segera untuk melantik anggota yang baru," ujarnya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga mempersoalkan kenapa pada mulanya pada 8 Ogos lalu Kelab Penyokong BN bersetuju meminta parlimen memanggil segera sidang, tiba-tiba pada 12 Ogos Kabinet pula mengatakan ia tidak perlu disegerakan.

"Apakah Datuk Seri Najib tidak mahu segera menyelesaikan masalah ini?" tanya beliau lagi.

Sedangkan, ujarnya masalah itu telah menghantui Najib sehingga fokus untuk pengukuhan ekonomi dan meningkatkan nilai ringgit terbantut.

Beliau menambah, rakyat masih mengharapkan PAC sebagai satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah urus tadbir, memandangkan SPRM, Bank Negara telah diganggu semasa penyiasatan ini berlaku.

"Sekurang-kurangnya PAC yang juga dianggotai oleh ahli parlimen pembangkang boleh menjadi pengimbang kepada masalah ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/8/2015

Share on Myspace