Ringgit jatuh, pulih semula kestabilan politik negara

HARAKAHDAILY | .

Semalam, nilai Ringgit telah melepasi paras RM4 berbanding dolar AS sejak ia mula mengalami penyusutan nilai pada akhir tahun 2014 lepas.

Ia merupakan nilai terendah dalam tempoh 17 tahun lalu; iaitu sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998. Ada telahan ia akan menjangkau sehingga RM4.10.

Para peniaga yang mengimport barang keperluan harian sudah mula galak untuk menaikkan harga barang kepada para pengilang dan pengedar. Kesan berantainya tentulah sedang atau bakal dirasai oleh pengguna cepat atau lambat.

Penganalisis ekonomi hampir sepakat bahawa kejatuhan 38% harga minyak mentah Brent sejak Jun 2014 lalu memberikan kesan yang sangat besar kepada kejatuhan nilai Ringgit memandangkan minyak merupakan salah satu bahan eksport utama negara.

Pengukuhan nilai dolar AS berikutan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika (US Federal Reserve) menaikkan kadar faedah pada September ini terus memacu permintaan terhadap dolar AS justeru memberikan tekanan kepada Ringgit. Kejatuhan matawang yuan, China, juga turut memberikan tekanan kepada Ringgit.

Pun begitu, isu pertikaian ke atas hutang 1MDB dan cara penyelesaiannya, isu aliran wang yang sangat besar dari luar ke akaun peribadi YAB Perdana Menteri dan skandal tuduhan rasuah dalam pembelian bangunan Dudley House, Melbourne, Australia oleh MARA Inc. yang telah menarik perhatian antarabangsa kepada Malaysia tidak dapat dinafikan telah menjatuhkan keyakinan antarabangsa terhadap Ringgit.

Keadaan ini bertambah rumit dengan pelbagai spekulasi dan provokasi yang wujud dalam negara sendiri khususnya akibat sikap tidak berhemah dan tidak berhikmah pihak Kerajaan menanganinya dan pihak pembangkang menjuarainya.

Untuk mengawal kejatuhan Ringgit, cadangan sama ada Bank Negara menggunakan Rizab Antarabangsanya untuk “membeli” Ringgit dalam pasaran atau membuat tambatan Ringgit sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir sewaktu menghadapi krisis dahulu atau cadangan-cadangan lainnya bolehlah dan amat patut dikaji oleh Kerajaan dengan melibatkan ahli parlimen, ahli akademik, para mufti dan cendekiawan ekonomi Islam.

Nilai Ringgit juga boleh kembali kuat jika permintaan terhadap eksport terus meningkat dan pelaburan asing bertambah. Asas ekonomi mesti dipastikan kukuh berlandaskan tuntutan Islam pada aspek prinsip dan praktikalnya.

Namun, paling signifikan untuk berhadapan bagi menyelesaikan situasi ini buat masa ini dan untuk jangka masa panjang ialah dengan kembali memulihkan kestabilan politik dalam negara kita agar kepercayaan dan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia kembali meningkat.

Parti pemerintah dan pembangkang walaupun berselisih dalam banyak isu dan agenda, tidak harus bersikap keterlaluan apabila berkait dengan perkara yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Tidak cukup dengan bacaan untuk menyelamatkan survival politik masing-masing sebagai asas bertindak, bacaan terhadap geopolitik antarabangsa juga harus dibuat pertimbangan bagi memastikan negara kita terus berdaulat.

Mungkin sudah tiba masanya cadangan penyelesaian melibatkan semua parti sama ada pemerintah dan pembangkang diwacanakan secara tulus dan disusuli dengan komitmen daripada semua pihak untuk menyediakan mekanisme ke arah merealisasikannya agar politik di negara kita lebih bermaruah dan berkesan.

Rakyat sudah semakin muak dengan kemelut politik dan krisis ekonomi berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian sedang mereka mengeluh akibat kenaikan harga barang, cukai GST yang menjadikan pendapatan mereka susut nilai dan peluang pekerjaan yang disaingi oleh hampir 2 juta warga asing. - HARAKAHDAILY 14/8/2015

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace