Shisha stick: Bimbang kesan negatif pada pelajar sekolah

AHMAD MULIADY ABDUL MAJID | .

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak berharap agar pihak berkuasa memandang serius terhadap kegiatan penjualan 'Shisha Stick' di negara ini bagi mengelakkan impak negatif terhadap pelajar sekolah dan golongan remaja, sama ada dari segi kesihatan, sosial mahupun masa depan mereka.

Beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), guru dan ibu bapa yang ditemui Bernama sekitar Lembah Klang melahirkan kebimbangan tentang perkara itu dan mendesak pihak berkuasa segera memantau kegiatan itu.

Bernama sebelum ini melaporkan kegiataan penjualan Shisha Stick di kedai serbaneka dan pasar larut malam di sekitar ibu kota yang mana penggunaannya popular dalam kalangan pelajar sekolah.

Shisha Stick atau dikenali sebagai 'Shisha Pen' ataupun dengan nama 'Hookah Pen' adalah kategori rokok elektronik dan mempunyai fungsi yang sama seperti 'Vapor'.

Bagaimanapun, ia tidak popular berbanding vapor disebabkan kandungan cecair perisa yang sedikit dan tidak memberi kepuasan kepada pengguna berbanding vapor.

Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata penggunaan Shisha Stick dalam kalangan pelajar sekolah bukanlah satu perkara baharu kerana pada tahun lepas, seorang anggota PAGE telah meyuarakan kebimbangan apabila mendapat tahu ada pelajar yang ketagih bahan itu.

Malah, ketika dihubungi Bernama, beliau berkata beberapa guru sekitar ibu kota juga meluahkan perasaan bimbang mereka terhadap perkembangan tersebut.

"Saya diberitahu bahawa ada murid yang menyimpan Shisha Stick dalam bekas pensel menyebabkan ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka membawa barang itu ke sekolah kerana bentuknya yang menyerupai pen dan 'stick eraser'.

"Ramai ibu bapa tidak tahu apa keburukan yang terdapat pada Shisha Stick dan kandungan bahan kimia yang ada di dalamnya, oleh itu adalah wajar bagi pihak sekolah bersama agensi penguat kuasa memberi penerangan kepada ibu bapa akan perkara ini," katanya.

Turut mendedahkan trend sama di sekolahnya di sini ialah seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, yang menyatakan bahawa pihak sekolahnya mula mengesan pelajar membawa Shisha Stick dua minggu lepas apabila menjumpai barang tersebut dalam kotak pensel seorang pelajarnya.

"Bentuk fizikal Shisha Stick menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa yang menyangka bahawa ianya adalah alat tulis dan ini amat merisaukan saya kerana tidak semua ibu bapa mengetahui akan perkara ini.

"Saya harap dengan panduan ini ibu bapa akan lebih kerap membuat pemantauan terhadap anak-anak mereka walaupun pihak sekolah ada melakukan rutin memeriksa beg sekolah pelajar secara rambang," katanya.

Ain berkata beliau bimbang jika Shisha Stick dijual secara terbuka, ia akan menyebabkan pelajar ketagih dengan bahan itu walaupun pada masa ini ia dinyatakan bebas daripada kandungan dadah.

Sementara itu seorang suri rumah, Marliana Saidin, 38, berkata beliau risau tiga anak lelakinya akan terjebak dengan gejala tidak sihat itu jika tiada pengawasan daripada pihak berwajib.

"Jika tiada pengawasan dan pantauan daripada pihak berkuasa, saya risau satu hari nanti tidak mustahil bahawa Shisha Stick akan menggantikan rokok kerana harganya yang rendah dan mudah didapati," katanya yang ditemui Bernama ketika menghantar anaknya ke sekolah di Lembah Klang.

"Mula-mula pelajar sekolah cuba hisap rokok atau Shisha Stick, lepas meningkat dewasa mereka lebih berani untuk mencuba ganja ataupun dadah, itu yang merisaukan saya," katanya.

Peniaga kedai runcit itu berkata pihak sekolah, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain tidak boleh memandang remeh perkara ini walaupun tiada undang-undang berkaitan larangan menggunakan bahan itu setakat ini. - Bernama

Share on Myspace