Bekas wakil rakyat DAP sertai DHPP

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Bekas wakil rakyat DAP Perak, Sum Cheok Leng hari ini mengumumkan menyertai PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Penyertaan beliau itu diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, dekat Ipoh, hari ini.

Sum adalah pimpinan DAP dan memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bercham dari tahun 2008 hingga 2013 seterusnya tidak terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam sidang media itu, Sum berkata, dirinya dengan rela hati menawarkan diri untuk menyertai DHPP bagi sama-sama berjuang dalam wadah perjuangan PAS.

Menurutnya, penyertaannya di dalam DHPP adalah sebagai platform baharu untuk beliau berkhidmat kepada masyarakat khususnya di kawasan Bercham.

Kata beliau, masyarakat setempat masih menagih khidmatnya walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan Adun kawasan tersebut dan ia mendorong kepadanya untuk mencari satu pentas khidmat.

"Walaupun saya tidak lagi menjadi wakil rakyat, tetapi masyarakat masih mencari saya minta tolong.

"Saya ditawarkan oleh seorang individu di dalam PAS untuk sertai PAS supaya ada pentas baru untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya pertimbang tawaran itu dan akhirnya saya membuat keputusan menyertai PAS," katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa; Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Kamil; Setiausaha DHPP Pusat, Vincent Lee; Pengerusi DHPP Perak, S Surianarayanan dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Ibrahim.

Sum melihat, masyarakat sama ada Melayu, India serta Tionghua menghadapi masalah kehidupan yang sama dan perbezaan kaum itu tidak menjadikannya satu jurang antara satu sama lain.

Beliau telah biasa dengan ahli-ahli PAS sejak tahun 2008 ketika tertubuhnya kerajaan Pakatan Rakyat pada ketika itu dan selalu hadir ke majlis-majlis yang dianjurkan oleh parti itu.

"Saya sudah lama rapat dengan ahli PAS dan saya ada dimana-mana program yang dijemput oleh PAS. Saya turut berucap dalam program PAS," katanya lagi.

Ketika ditanya kedudukannya di dalam DAP, beliau katanya telah menghantar satu surat memaklumkan hasratnya itu ke Pejabat DAP Pusat semalam. - HARAKAHDAILY 14/8/2015

Share on Myspace