Nur Jazlan marilah sertai Bersih 4 - Maria Chin

HARAKAHDAILY | .

Maria Chin turut hadir majlis jamuan Hari Raya Bakip di Pejabat Agung PAS, petang ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik, Datuk Nur Jazlan telah dilaporkan berkata bahawa kerajaan tiada masalah dengan perhimpunan aman Bersih 4.

Justeru, Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menerima baik respons Nur Jazlan ini dan dengan rasa besar hati ingin mengajak beliau untuk turut bersama-sama menyertai perhimpunan Bersih 4 yang dijadual berlangsung dalam masa dua minggu sahaja lagi.

"Pastinya tiada masalah bagi beliau untuk ikut serta berhimpun bersama-sama rakyat Malaysia yang menuntut pilihan raya dan kerajaan yang adil, hak membantah, pengukuhan demokrasi berparlimen dan demi menyelamatkan ekonomi negara," ujar Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam satu kenyataan.

Pun begitu, katanya Nur Jazlan dalam kenyataannya kepada media turut menyebut bahawa pihak berkuasa akan bertindak sekiranya perhimpunan tersebut bertukar kecoh dan keadaan tidak terkawal.

"Suka kami ingatkan Datuk Nur Jazlan bahawa tugas menjaga keamanan dan mengawal keadaan adalah tugas pihak polis, yang kini berada di bawah bidang tugas beliau sebegai Timbalan Menteri Dalam Negeri," ujar beliau lagi.

Maria berkata, tiga perhimpunan Bersih telah berlangsung dan dunia telah menjadi saksi bahawa perhimpunan yang bermula aman hanya bertukar menjadi huru hara apabila pihak polis bertindak kasar dalam meleraikan perhimpunan.

Menurut beliau lagi, matematiknya mudah, sekiranya pihak polis boleh mengawal diri dan bertenang, perhimpunan juga akan kekal aman dan tenang.

Tegasnya, Bersih 4 tidak bertujuan menggulingkan kerajaan.

Justeru, katanya pihak polis perlu diingatkan bahawa rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman Bersih 4 hanya membawa lima tuntutan dan salah satu darinya adalah untuk memperkukuh demokrasi berparlimen.

Tambahnya, pihak polis harus mengambil semua langkah untuk memastikan peserta himpunan berada dalam keadaan aman dan selamat, dan bukannya mencetuskan kekecohan.

Kata Maria lagi, sekiranya ada antara kalangan peserta yang melanggar arahan jawatankuasa pengelola untuk berhimpun secara aman, dan memulakan kekecohan, pihak polis dialu-alukan untuk memberkas mereka.

"Sekali lagi kami tegaskan bahawa tanggungjawab pihak polis ialah untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan Bersih 4.

"Sekiranya terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri lah yang harus bertanggungjawab," ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/8/2015

Share on Myspace