Pencemaran bauksit, bacaan arsenik 100 kali ganda

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

SIKAP Kerajaan Negeri Pahang yang masih gagal dalam menangani isu pencemaran bauksit yang menghantui penduduk di Kuantan Pahang selama ini amat dikesali.

Pemimpin PAS Negeri telah menggunakan segala saluran yang ada khususnya dengan agensi yang berkaitan, Kerajaan Negeri sehingga ke sidang Dewan Undangan Negeri untuk mendesak satu tindakan yang drastik demi keselamatan dan kesihatan Rakyat.

Saya kecewa kerana pandangan dan teguran PAS dibakulsampahkan seolah-olah pemimpin Umno/BN sanggup mempertaruhkan keselamatan dan kesihatan Rakyat malah para Pelancong yang selalu berkunjung ke daerah itu demi kepentingan pelombong semata-mata.

PAS Pusat juga ingin mendesak Kerajaan Negeri malah Perdana Menteri untuk mendedahkan laporan siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dengan seberapa segera ke pengetahuan umum termasuk langkah-langkah perlindungan segera yang perlu diambil oleh Rakyat.

Kenapa hasil laporan siasatan DOE itu masih tidak didedahkan sehingga ke hari ini? lebih-lebih lagi selepas pendedahan New Strait Times (NST) pada 5 Ogos yang lalu berkenaan kandungan Arsenik yang tinggi dari sampel ikan yang diambil dari Sungai dan Pantai Pengorak.

Bukankah pendedahan berterusan kepada Arsenik boleh menyebabkan penyakit kanser kepada kulit, salur pernafasan, dan buah pinggang? Selain masalah kepada penghidap lelah, kandungan bayi serta pesakit jantung lebih-lebih lagi kandungan Arsenik daripada sampel yang diambil mencatatkan bacaan 100 kali ganda dari had yang dibenarkan Akta Makanan 1985.

Isu perlombongan Bauksit bukanlah isu politik tetapi adalah isu kemanusiaan dan PAS Pusat melalui Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitarnya amat bersetuju malah menyokong NGO Geram (Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit) untuk terus menganjurkan Himpunan Rakyat pada 22 Ogos ini di Kuantan Pahang.

Selepas isu Lynas, Cameron Highlands, perlombongan emas di Raub, pembalakan, pencemaran sungai, perlombongan bijih besi termasuk pusat insinerator di Blue Valley, kini isu Bauksit pula di Gebeng Kuantan, kenapa isu alam sekitar masih tidak henti-henti menghantui rakyat di negeri ini?

Demi keselamatan dan kesihatan rakyat di Pahang khususnya, PAS ingin merayu kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk menguburkan Umno/BN dalam PRU ke-14 nanti. – HARAKAHDAILY 14/8/2015

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar, PAS Pusat

Share on Myspace