Selangor pulihkan projek terbengkalai Rimau Indah

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah memilih projek terbengkalai Pangsapuri Kos Rendah Rimau Indah, Seksyen 32, di sini untuk dipulihkan di bawah Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (Tepat).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad Projek tersebut telah dimulakan pada tahun 2001 dan sepatutnya siap pada tahun 2005 tetapi ia hanya dapat disiapkan sekitar 80 hingga 90 peratus.

Katanya, pada Sidang Belanjawan Dewan Negeri Selangor bulan November lepas, Menteri Besar Selangor, Mohammed Azmin Ali telah mengumumkan kerajaan negeri telah menubuhkan Tepat dengan dana sebanyak RM20 juta sementara bagi Rimau Indah terdapat 315 rumah kos rendah yang telah dijual.

Tambahnya, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengenal pasti pembeli-pembeli tetapi hanya 121 pembeli yang diketahui.

Justeru, ujarnya para pembeli projek ini perlu menghubungi LPHS dengan segera melalui talian  03-5544 7419 atau 03-5544 7950 sambungan 117 atau 118.

"Pembeli-pembeli mestilah mengemukakan Perjanjian Jual Beli mereka sebagai bukti pembelian," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pemaju yang akan memulihkan projek itu adalah Worldwide Holdings Berhad iaitu syarikat milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Tambah belau, tepat adalah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, tanpa Tepat tidak ada pemaju yang akan menyelamatkan projek-projek terbengkalai kos rendah seperti Rimau Indah kerana memerlukan suntikan dana yang tinggi.

"Di antara projek lain yang sedang diselamatkan di bawah Tepat adalah Taman Desa Mawar, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri. - HARAKAHDAILY 15/8/2015

Share on Myspace