Kongres Rakyat, bersama membina negara sejahtera

HARAKAHDAILY | .

Permasalahan yang melanda negara hari ini memerlukan satu penyelesaian yang tuntas dan berkesan. Negara tidak boleh dibiarkan menjadi korban kerakusan pihak tertentu yang terus mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negara.

Kita juga tidak mahu kemakmuran dan kesejahteraan negara dan penghuninya tergugat ekoran daripada isu ekonomi yang terus meletakkan rakyat dalam keadaan kian terdesak, demikian juga kita tidak boleh membiarkan iklim politik yang tidak menentu bakal mencetuskan porak peranda dalam urustadbir negara.

Negara sememangnya perlukan formula dan pelan bertindak yang menjadi solusi awam untuk keluar dari kemelut serta krisis ekonomi dan politik masa kini.

Kongres Rakyat adalah idea yang menarik untuk menjadi platform rakyat mengemukakan usul, memberikan pandangan dan merangka pelan tindakan penyelesaian ke arah membina negara yang sejahtera dan selamat dari tekanan ekonomi yang menindas rakyat terbanyak serta ketidakstabilan politik yang menggugat kemakmuran negara.

Saya akan memberikan komitmen bersama rakan-rakan NGO yang lain serta tokoh-tokoh negara yang menyedari keperluan mendesak ini bagi menyediakan platform yang wajar dan memaksimumkan peranan rakyat memberi partisipasi mereka untuk turut sama membina negara sejahtera.

Insyaallah, kebangkitan rakyat akan diurus dengan baik. Medium untuk mereka bersuara mesti disediakan, platform untuk mereka bertindak mesti dianjurkan. Ini menjadi tanggungjawab semua secara bersama agar ianya dilakukan secara teratur, aman dan berhikmah. Kongres Rakyat adalah solusi terbaik.

Justeru dalam masa yang sama kita tidak mahu budaya luar dan campur tangan asing yang menambah rumit dan kusut konflik sedia ada. Kita mahu penyelesaian yang tuntas. Kita tidak mahu mencetus huru hara atas nama kebangkitan. Kita tidak mahu menimbulkan ketegangan kaum atas nama perpaduan. Kita tidak mahu membuka ruang campur tangan asing atas nama penyelesaian. - HARAKAHDAILY 16/8/2015

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Share on Myspace