Hadis palsu: Darul Hadis perlu disegerakan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) memandang serius laporan dan fenomena penyebaran hadis palsu yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Kewujudan hadis-hadis palsu ini dan penyebarannya merupakan satu tindakan bersifat jenayah terhadap Islam dengan menyandarkan kepalsuan tersebut seakan ianya datang daripada Rasulullah s.a.w," kata Setiausaha Agung PUM, Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Justeru, beliau berpesa agar ingat kepada pesan Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya yang bermaksud: "Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di neraka". (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad).

"Umat Islam dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menyebarkan hadis-hadis yang diterima terutama menerusi aplikasi WhatsApp, telegram atau Facebook dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengingatkan agar jangan terpedaya dengan ayat-ayat yang meminta disebarkan dengan mengatakan akan memperolehi pahala apabila menyebarkannya.

Dalam masa yang sama, ujarnya PUM melihat bahawa pihak kerajaan perlu segera mewujudkan Darul Hadis.

"Sepertimana kita mempunyai Darul Quran Jakim, sudah tiba masanya Darul Hadis ini ditubuhkan untuk mengawalselia dan menjaga kesucian teks-teks hadis daripada dicemari dengan kepalsuan rekaan manusia," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya PUM berharap dengan kewujudan Darul Hadis kelak akan dapat merancakkan pengajian-pengajian berteraskan disiplin ilmu hadis dalam masyarakat Malaysia dan dapat memberi impak di peringkat antarabangsa. - HARAKAHDAILY 16/8/2015

Share on Myspace