Ringgit merudum, jangan ikat perut pelajar di luar negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Walaupun nilai Ringgit (RM) merudum berbanding Dollar Amerika (USD), jangan pula memberi kesan kepada pelajar-pelajar ijazah pertama atau ijazah lanjutan yang berada di luar negara sehingga terpaksa mengikat perut.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan, dalam apa keadaan sekalipun, soal pendidikan, kesihatan dan pertahanan tidak boleh berkompromi.

"Bajet lain boleh dikurangkan tetapi tiga sektor ini tidak boleh dikurangkan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya pihak penaja seperti JPA, Mara, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara, Amanah Raya, Petronas, TNB, Telekom, Yayasan Negeri, Pejabat Zakat dan lain-lain lagi perlu berusaha untuk memastikan pelajar tajaan mereka tidak terjejas dan terganggu.

Beliau menggesa para penaja agar perlu menambah biasiswa dan kos sara hidup sesuai dengan perbelanjaan semasa dan jangan terikat dengan kadar yang lama.  

"Tidak perlu mengambil langkah untuk memanggil mereka pulang ke universiti tempatan.

"Biarlah mereka menghabiskan ijazah mereka tanpa perlu mengganggu kosentrasi dan emosi mereka," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Menurutnya, para pelajar yang dihantar itu adalah mereka yang cerdik dan terpilih, malahan ada kursus yang ditawarkan tidak ada di universiti tempatan. - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Share on Myspace