PAS Sarawak kehilangan pemimpin istiqamah

JOFRI JARAIEE, PAS SARAWAK | .

PAS Sarawak kehilangan seorang pemimpin berjiwa kental dan istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayatnya.

Haji Adam Ahid, 64, Pesuruhjaya PAS Sarawak meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak pada jam 3.10 pagi Isnin 17 Ogos 2015.

Pada 12 Ogos yang lalu beliau telah koma dan dimasukan ke unit rawatan rapi (ICU) Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.

Beliau merupakan seorang Pesuruhjaya PAS Sarawak yang sentiasa murah dengan senyuman walaupun beliau kurang sihat sejak beberapa minggu yang lalu tapi beliau tetap juga hadir dalam majlis dan juga mesyuarat PAS.

Beliau pernah beberapa kali bertanding dalam Pilihan raya Dun dan Parlimen Sarawak tetapi gagal mencapai kemenangan tetapi beliau tidak pernah putus asa dan tetap istiqamah dalam memperjuangkan nasib rakyat Sarawak.

Beliau selalu menasihati ahli PAS Sarawak agar terus istiqamah walaupun tidak menang di dunia mungkin akan menang di akhirat kelak.

PAS Sarawak kehilangan seorang tokoh yang berjiwa kental dan sukar untuk dicari ganti.

Walau bagaimanapun ahli PAS Sarawak perlu tabah menghadapi ujian ini setelah kita kehilangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam beberapa bulan yang lepas.

PAS Sarawak juga merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Haji Adam Ahid semoga tabah dan sabar menghadapi ujian ini.

Semoga Allah meletakkan rohnya dan ditempatkan bersama-sama dengan roh-roh orang yang soleh. - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Share on Myspace