'Ketua Polis Negara, kami faham perasaan anda'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Banyak persoalan telah dilontarkan oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar tentang perhimpunan Bersih 4 yang bakal berlangsung kurang dua minggu sahaja lagi.

"Kami faham keresahan KPN dan juga mereka yang mempunyai banyak prejudis terhadap perhimpunan tersebut," ujar Pengerusi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah.

Menruutnya, Bersih 2.0 telah menulis surat kepada KPN, memaklumkan tentang perhimpunan Bersih 4 serta kesediaan pihaknya untuk bertemu dan berbincang dengan KPN.

"Namun KPN hanya mengutuskan Ketua Polis Daerah Dang Wangi untuk bertemu dan bermesra dengan kami," ujarnya lagi.

Justeru, katanya adalah tidak adil bagi KPN untuk membuat pelbagai andaian tanpa terlebih dahulu bertemu dan berbincang dengan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

"Kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan. Niat dan tujuan perhimpunan Bersih 4 telah dilaporkan oleh media dan kenyataan-kenyataan kami boleh dibaca di internet.

"Bersih 2.0 menyedari bahawa kami ini ibarat mentimun dengan durian. Menggolek pun luka, digolek pun kami luka," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bukan sekali dua peserta himpunan Bersih telah dileraikan dengan kekasaran pihak polis, bahkan kali ini mungkin masuk kali keempat.

"Namun suka kami ingatkan bahawa perhimpunan aman anjuran Bersih 2.0 tidak mengundang huru-hara." ujarnya.

Menurutnya lagi, huru-hara hanya timbul apabila perhimpunan cuba dileraikan dengan kekasaran dan gas pemedih mata.

"Kami turut ingin mengingatkan Tan Sri KPN supaya bertindak bijak dan membaca mood orang ramai dengan tepat," ujarnya.

Beliau berkata, salah langkah pihak polis, sepertimana yang boleh dilihat dalam tiga perhimpunan lalu, hanya akan menyemarakkan semangat orang ramai untuk ikut serta dalam perhimpunan kali ini.

Katanya, ugutan dan tindakan hanya akan menambah rasa menyampah orang ramai terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, kata beliau Bersih 2.0 menasihatkan KPN dan pihak polis untuk menyiasat hal-hal yang lebih penting, seperti pengakuan Pengarah Komunikasi BN Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa Perdana Menteri telah bertindak mengelak pertuduhan jenayah terhadapnya, dalam satu wawancara bersama The Star semalam.

Ini, ujarnya satu pengakuan yang amat signifikan dalam siri siasatan terhadap skandal dana yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, selain dapat menjawab persoalan draf pertuduhan terhadap beliau yang kononnya dikatakan palsu sebelum ini.

Kata beliau, pihaknya memahami dilema yang sedang dihadapi ramai anggota polis, penjawat awam, pegawai SPRM malah-malah penyokong kerajaan sendiri apabila berhadapan situasi sekarang.

"Kami dengan rendah hati memohon anda mempertimbangkan semua yang sedang berlaku secara bijak, dan membuat keputusan untuk menyertai rakan-rakan rakyat Malaysia yang sudah siap sedia untuk turun ke Bersih 4, bagi mendesak sebuah kerajaan dan sistem pilihan raya yang adil, hak untuk membantah, sebuah sistem demokrasi berparlimen yang lebih kukuh dan demi menyelamatkan ekonomi negara; sepertimana yang telah termaktub sebagai hak rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan," jelasnya. - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Share on Myspace