Rakyat jangan terpedaya imej Islam Mukhriz

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah, Tuan Guru Mohd Rejab Md Akhir menyatakan bahawa BN yang memerintah negeri ketika ini tiada cita-cita untuk Islam, melainkan memperalatkan Islam setelah mereka terpukul dengan kekalahan satu penggal kepada PAS.

Maka dengan itu katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang terikat dengan parti diwakilinya itu hanya menjadikan Islam sebagai 'projek' dengan mengutip segala simbol seperti berjubah, berkopiah, mendekati tokoh ulama dan program-program Islamik secara terpilih.

Hakikatnya ujar beliau, tidak ada roh Islam diserapkan dalam kehidupan masyarakat dari pentadbiran Islam kerana asas serta tujuan kerajaannya itu sendiri bukan untuk agama.

"Maka imej Islam digunakan bertujuan untuk tarik sokongan politik dan undi sahaja, kosmetik semata-mata. Mukhriz hanya pelengkap kepada dasar-dasar sekular partinya.

"Rakyat jangan terpedaya. Kerana terbukti ketika sama mereka lebih mementingkan kebendaan. Mereka juga mengutamakan keseronokan. Tidak pantas mereka hendak bantu kesusahan rakyat, tetapi mereka boleh belanjakan hingga jutaan ringgit untuk program hiburan lawak," tempelaknya.

Menurutnya, ketika sama hal ehwal berkaitan Islam terabai misalnya kegagalan mengurus kekosongan penjawat-penjawat untuk pengurusan masjid.

Begitu juga katanya, penangguhan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Pulau Tuba, Langkawi, hampir menjual Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan menyerahkan 10 Maahad Mahmud kepada Kerajaan Persekutuan.

Tegas beliau, semua itu adalah ikon dan pembangunan yang berkaitan kepentingan Islam di Kedah secara khusus, malangnya tidak diberi perhatian sewajarnya.

Oleh itu katanya, jika Mukhriz benar-benar mengangkat Islam, sudah tentu semua institusi tersebutlah terlebih dahulu diperkukuhkannya.

"Tapi tidak, Mukhrizlah yang melemahkan institusi-institusi ini. Maka rakyat Kedah mesti melihat bahawa BN tidak membawa sebarang sinar untuk Islam.

"Sebaliknya PAS telah buktikan semasa mentadbir Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan, beliau menerapkan prinsip-prinsip pemerintahan Islam.

"Bebas rasuah, berjimat cermat, mengutamakan rakyat baik pada pembangunan insan mahupun ekonomi, memperbaiki banyak kerosakan atas masyarakat dan infrastruktur.

"Lebih mengagumkan, Ustaz Azizan seorang ulama memiliki wawasan dunia dan akhirat untuk rakyat Kedah," katanya. - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Share on Myspace