Dakwaan guling kerajaan propaganda murahan

HARAKAHDAILY | .

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan usaha untuk menukar Perdana Menteri dan mewujudkan kerajaan perpaduan (unity government) melalui proses akuan bersumpah di Parlimen sebagai satu usaha untuk menggulingkan kerajaan adalah satu propaganda murahan. Lebih melucukan apabila rancangan untuk suatu pilihan raya umum lebih awal turut disifatkan beliau sebagai sebahagian usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Keabsahan pemerintah dan perdana menteri adalah di atas sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Sekiranya hilang majoriti, maka perdana menteri perlu ditukar dan sebaiknya pilihan raya umum diadakan bagi mendapat mandat baru rakyat. Ini bukan kudeta. Ini bukan suatu penggulingan. Ini adalah proses demokrasi matang. Ianya pernah berlaku di United Kingdom, India dan berulangkali berlaku di Jepun dan ianya boleh sahaja berlaku di Malaysia apabila pemerintah telah gagal dalam amanah dan tanggungjawabnya.

Malah jika disorot komentar oleh seorang pakar perlembagaan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood seperti yang dipetik oleh sebuah akhbar tempatan, proses di parlimen yang sedemikian rupa lebih merupakan satu pemindahan kuasa yang biasa berlaku di dalam amalan demokrasi. Ianya bukanlah satu tindakan yang menyalahi undang-undang di mana kerajaan dijatuhkan melalui kekerasan atau protes jalanan.

Maka cukup pelik mendengar dakwaan yang sebegitu dangkal dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang bercakap seolah-olah tidak mempunyai kefahaman mengenai proses demokrasi dan undang-undang sedangkan beliau sentiasa gah menunjukkan pada dunia akan ijazah kedoktoran beliau.

Apakah beliau tidak mengira kenyataan dangkal sebegitu yang menggambarkan seolah-olah kerajaan bakal digulingkan melalui huru-hara boleh meresahkan para pelabur dan menjadikan ekonomi lebih merudum dikala nilai ringgit semakin menjunam dan hutang negara semakin meningkat? Sedangkan apa yang didakwa cumalah satu proses demokrasi di parlimen.

Malah kenyataan ini adalah sebahagian dari siri kenyataan dangkal dan cetek yang dibuat oleh ahli-ahli kabinet baru yang cuba mempertahan dan menjustifikasi salahlaku Perdana Menteri dan Umno BN dengan tujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat. Malang bagi Umno BN kerana rakyat , sama ada mereka yang berada di bandar atau pun di kampung, kini tidak lagi boleh dimomokkan sebegitu rupa.

Usahlah Umno dan BN secara berterusan menimbulkan keresahan kepada rakyat, kerana dalam masa yang sama ianya dilihat sebagai satu ugutan kepada rakyat.

Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat, Peguam Negara ditukar serta-merta, siasatan jawatankuasa audit parlimen terjejas kerana rombakan kabinet, provokasi terhadap Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kenyataan dangkal TPM ini jelas menunjukkan pemerintah Umno BN kini sedia untuk menyasar institusi Parlimen bagi menyekat ruang rakyat untuk bersuara dan melakukan perubahan.

Maka apa pula selepas ini? Ahli-ahli parlimen bakal dijel dan didakwa dengan siasatan luar akal? Pagar dan pintu-pintu Parlimen pula dikunci? Ianya tidak menghairankan kerana Umno BN pernah melakukannya di Perak dan Kelantan dahulu. Sesungguhnya Umno BN memang sanggup memperjudikan keamanan dan kesentosaan negara untuk kekal berkuasa maka rakyat perlu bijak untuk tidak terperangkap di dalam permainan licik sebegini.

PAS komited untuk memimpin perubahan melalui pendekatan aman dan berhikmah. PM, TPM dan sesiapa sahaja di dalam kelompok Umno BN harus ingat walau apapun perancangannya untuk menghalalkan salahlaku mereka, tempoh hayat untuk kekal berkuasa semakin singkat dikala rakyat bersedia untuk menolak Umno BN menerusi peti undi di dalam pilihanraya umum yang akan datang. - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh

Share on Myspace