Siapa mula komplot jatuhkan k'jaan bukan dengan p'raya?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wujud usaha menggulingkan kerajaan melalui suatu komplot terancang.

Beliau tidak mahu mendedahkan nama individu berkenaan, tetapi meminta individu berkenaan menafikan jika dakwaan beliau tidak benar.

Sifir beliau, 'siapa makan cili, dia berasa pedas'. Itu cara beliau menjaga keselamatan negara dan kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan akan digulingkan dengan cara undi tidak percaya yang dibolehkan berlaku di parlimen dan usaha mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen pembangkang secara akuan bersumpah sedang berjalan.

Bagi Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, jika benar kaedah itu berlaku dan berjaya, ia bukannya 'guling kuasa' tetapi 'tukar kuasa'.

Justeru, beliau mempersoalkan siapakah yang mulakan cara selain pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

"Tidakkah Umno yang melakukannya secara komplot terancang sehingga kejatuhan Perak di bawah PR pada tahun 2009?

"Tidakkah Umno juga menjadi dalang kejatuhan kerajaan PAS di Terengganu pada tahun 1961 apabila membeli wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baru?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Kelmarin di Tampin, Zahid mengumumkan pula bahawa individu yang mahu gulingkan berajaan itu akan berjumpa Perdana Menteri.

"Kata beliau, individu berkenaan telah sedar bahawa perbuatannya adalah salah.

"Kalau dakwaan itu benar, tidak adakah prosedur dan peruntukan undang-undang untuk membendungnya?" tanya Khairuddin lagi.

Sehubungan itu, beliau juga bertanya kenapa tidak prosedur dan peruntukan undang-undang itu digunakan

Menurutnya, sememangnya Zahid sangat bimbang kejatuhan kerajaan BN.

"Cepat atau lambat yakinlah ia pasti jatuh bukan kerana komplot tetapi kerana kegagalan dan kebobrokan Umno dan Datuk Seri Najib yang terpalit dengan begitu banyak isu integriti," ujarnya. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace