Selangor mahu 2 wakil dalam Tribunal Pembangunan Strata

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Negeri Selangor semalam telah meluluskan resolusi untuk memberi kuasa eksekutif kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menubuhkan Tribunal Pembangunan Strata (TPS) tetapi mahu dua wakil dari Selangor dilantik sebagai anggota tribunal tersebut.

TPS akan ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) tetapi akta ini perlu mendapat persetujuan negeri-negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri.

Tanpa persetujuan negeri, akta ini tidak dapat dikuatkuasakan atau TPS tidak boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah di kawasan pembangunan berstrata seperti pangsapuri dan kondominium.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Datuk Iskandar A. Samad, akta baru ini amat diperlukan kerana akta yang digunapakai sebelum ini, Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyelenggaraan Dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) mempunyai banyak kelemahan dan tidak lengkap.

Oleh yang demikian, katanya, kerajaan negeri terpaksa membuat peraturan-peraturan tambahan berkaitan pembangunan strata bagi menyelesaikan masalah di kawasan pembagunan tersebut.

"Kerajaan persekutuan telah mengambilkira peraturan-peraturan tambahan ini di dalam menyediakan akta yang baru tersebut.

"Sebelum ini juga kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mewujudkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Prihatin untuk mendengar aduan-aduan melibatkan pembangunan berstrata," katanya kepada Harakahdaily.

Dengan penguatkuasaan akta baru, katanya TPS akan mengambil alih tugas Jawatankuasa Prihatin Kerajaan negeri, mereka sentiasa berada di hadapan di dalam usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk pembangunan berstrata.

"Ini terbukti apabila kerajaan persekutuan mengambil kira usaha-usaha kerajaan negeri apabila merangka akta baru ini," katanya. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace