Pelajar pondok tolak parti Islam kedua

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Tindakan segelintir bekas pemimpin PAS mahu mewujudkan parti baru berorientasi syariat dan keadilan sosial ditolak pelajar-pelajar institusi pondok di Kelantan.

Kata mereka tidak perlu wujud lebih dari satu parti berteras Islam di negara ini kerana ia akan merugikan perjuangan umat Islam dari aspek politik.

Amizul Abdullah, 47 dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas berkata umat Islam tidak perlu dikelirukan dengan usaha mewujudkan parti Islam baru.

Katanya apabila wujud banyak parti Islam sudah tentu sokongan dalam pilihan raya akan berpecah sehingga memberi kemenangan mudah kepada pihak lawan.

“Saya tidak nampak perlu ditubuh sehingga dua parti berteras Islam di Malaysia. Idea seperti itu tidak sesuai lebih-lebih lagi ia kelihatan didominasi pemimpin yang kalah dalam muktamar PAS,” katanya di sini.

Che Mohd Farizi Che Abdul Rahim, 26 juga dari Pondok Lubuk Tapah berkata, pengasas pondok terbabit Allahyarham Tok Guru Haji Abdullah Yusof meninggal dunia ketika bersama PAS.

Katanya Tok Guru memperjuangkan Islam sepanjang hayatnya biar pun beliau bukan berada di barisan hadapan kepemimpinan PAS.

“Saya pun hairan sebelum kalah dalam muktamar tidak pernah dengar cerita mahu wujudkan parti Islam baru, namun selepas kalah timbul pula hendak tubuh parti baru.

“Ketika masih bersama PAS siang malam menuduh orang lain salah, sekarang setelah tiada lagi jawatan PAS pula tidak betul. Saya tidak faham pemimpin macam itu,” katanya.

Ustaz Mohd Rosdi Abdul Samad, 45 dari Pusat Pembangunan Pondok Bhd pula memberitahu mungkin program tarbiah dalam PAS hanya perlu diikuti pemimpin peringkat kawasan dan bukan yang berada di pusat.

Katanya, kalau pemimpin di peringkat pusat melalui program tarbiah dan usrah sudah tentu kecelaruan macam sekarang tidak berlaku.

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam proses tarbiah PAS. Apa yang berlaku sekarang seolah-olah pemimpin yang tidak dipilih dalam muktamar lepas tidak dimatang dengan agenda tarbiah,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace