Pemuda PAS harap Abdul Khalid terus istiqamah

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipelawa untuk bersama perjuangan PAS agar terus beristiqamah membina Malaysia ke arah lebih makruf dan berjaya.

Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, Khalid telah menunjukkan teladan dan pencapaian serta integriti yang dikagumi, cemerlang lagi terpuji semasa mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

"Adalah wajar dengan pengalaman, kesungguhan serta rekod tersebut dilestarikan demi kepentingan rakyat dan negara yang sememangnya memerlukan ahli dan tokoh politik amanah juga gigih seperti beliau.

"Karier politiknya tidak harus berakhir begitu sahaja apabila tamatnya penggal pilihan raya kali ini, setelah beliau terdahulu meninggalkan dunia korporatnya demi menghambakan diri dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Beliau memerlukan satu tapak teguh dan kukuh dalam realiti persaingan politik Malaysia ini di mana kelazimannya menuntut perjuangan individu itu adalah menerusi penglibatan bersama parti politik sedia ada," ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah.

Sehubungan itu katanya, bahtera PAS adalah yang sesuai, selari dan terbaik untuk disertai Khalid.

Mohd Azam menyeru Adun Pelabuhan Klang itu untuk tidak bertangguh lagi dan menyatakan kesediaan memberikan slot khas menerima penyertaan Khalid.

Menurutnya, Pemuda PAS Kedah menawarkan kepada beliau Himpunan Anak Muda bersempena Himpunan Tolak BN yang akan berlangsung pada Sabtu, 22 Ogos ini di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar untuk tujuan tersebut. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace