Raja Lawak buka Zizan Mart di Kota Bharu

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Selebriti terkenal Zizan Raja Lawak menjadikan Kelantan sebagai lokasi pertama memulakan perniagaan pasar mini ala 7 Eleven.

Bertempat di Jalan Kuala Krai berhampiran Simpang Empat Telipot beliau memulakan perniagaan dengan modal lebih RM200,000 dengan membuka Zizan Mart.

Pengarah Urusan Zizan Group Sdn Bhd, Mohd Razizan Abdul Razak berkata Kelantan dipilih sebagai lokasi pertama perniagaannya memandangkan ia terkenal sebuah negeri perniagaan.

Katanya di negeri tersebut sesuai dimulakan projek perniagaan memandangkan ia sebagai ‘kepala’ bagi negeri-negeri di Pantai Timur.

“Zizan Mart bakal beroperasi di seluruh negara dan ditegaskan tidak akan menjual minuman keras.

“Sebaliknya ia lebih kepada produk keperluan diri serta kegunaan harian.

Zizan Mart juga berpeluang memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Zizan Mart di sini, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Beliau yang lebih dikenali Zizan Razak turut mengucapkan terima kasih di atas persetujuan kerajaan negeri membenarkan pihaknya memulakan operasi perniagaan ala 7 Eleven itu.

“Saya telah berusaha untuk memastikan syarat-syarat yang ditetapkan bagi membolehkan Zizan Mart beroperasi bagi tempoh 24 jam,” ujarnya.

Beliau turut berhasrat memperluaskan rangkaian perniagannya di seluruh negara, di mana Terengganu negeri kelahirannya dipilih sebagai lokasi kedua.

“Jika diizinkan Allah, insya-Allah saya akan membuka Zizan Mart di setiap Dewan Undangan Negeri di seluruh negara,” katanya. - HARAKAHDAILY 18/8/2015

Share on Myspace