Galeri Tok Guru dilancar di Kota Darulnaim

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Selepas kira-kira enam bulan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pergi meninggalkan kita, kini legasi kehidupannya boleh ditonton orang ramai di Kota Darulnaim.

Galeri khas diwujudkan dengan menempatkan pelbagai khazanah peninggalan Tok Guru termasuk himpunan kaset kuliah agama, gambar-gambar, album keluarga dan pakaian hariannya ditempatkan di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG).

Pelancaran Galeri Tok Guru di IPTG yang terletak di sebelah Bilik Gerakan Negeri dirasmikan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob semalam.

Turut dipamerkan koleksi tulisan belasungkawa Tok Guru yang menyentuh perasaan dan cukup bernostalgia.

Galeri itu akan dibuka kepada umum itu tidak lama lagi.

Ustaz Ahmad ketika ditemui berkata hasil perjuangann Tok Guru sepanjang hayatnya dipamerkan di galeri tersebut.

“Buku-buku yang pernah dibaca Allahyarham Tok Guru dan koleksi pakaiannya turut dipamerkan. Walaupun Tok Guru telah pergi namun kita perlu meneruskan perjuangannya,” ujar beliau.

Hadir sama pada pelancaran itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, ahli-ahli lembaga pengarah IPTG, Senator Datuk Dr Johari Mat, Mohd Apandi Mohamad dan Pengarah IPTG, Dr Che Shamsuddin Mohd Noor.

Selain IPTG, PAS Kelantan juga mewujudkan Unit Penyebaran Legasi Tok Guru bertempat di tingkat satu Badan Perhubungan PAS.

Sebelum ini Perbadanan Muzium Negeri juga mengadakan pameran khas legasi Tok Guru di Muzium Islam. - HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace