Rancangan 5 tahun Perak perlu mesra belia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Perak meneliti pembentangan Rancangan Pembangunan 5 Tahun Negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia ke-11 di Persidangan Dewan Negeri Perak semalam dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM1.76 bilion.

Namun begitu, kata ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin pembangunan modal insan yang holistik dilihat kurang diberikan penekanan berbanding pembangunan fizikal yang dibentangkan pada setiap sektor.

Menurutnya, Ibnu Khaldun menegaskan bahawa pembinaan sesebuah tamadun amat bergantung kepada manusia sebagai aset terpenting kerana mereka mempunyai kemampuan berfikir, menentu, memilih dan mempelajari sesuatu untuk tujuan hidup yang bertamadun.

Selain itu, kata beliau rancangan Daerah Mu'allim dan Bandar Belia yang dirancang menjadi perhatian utama Dewan Pemuda PAS Perak.

Katanya, dalam kenaikan harga barang, cukai GST yang dikenakan dan penurunan nilai ringgit, kerajaan negeri diharap dapat memastikan Belia Perak mendapat pekerjaan dan kediaman mampu milik disamping pembelajaran sepanjang hayat dalam pembangunan rohani dan intelektual yang berterusan buat mereka.

"Malahan akses internet percuma serta tempat bersukan yang baik turut mampu membina kekuatan jasmani golongan belia di Bandar Belia itu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Bandar Belia juga seharusnya menjadi sebuah bandar membina minda kritis, kreativiti, inovasi dan sahsiah yang tinggi kerana golongan belia juga merupakan pemimpin negara akan datang.

"Diharap juga agenda buat belia ini ditekankan juga di daerah yang lain di Perak," katanya. - HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace