Pemuda PAS Shah Alam terus berfungsi seperti biasa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Shah Alam (DPPSA) terus berfungsi seperti biasa selepas 13 jawatan yang dikosongkan sebelum ini diisi semula bagi meneruskan tanggungjawab dan amanah parti sepenuhnya.

Pemangku Ketua DPPSA, Rizal Samadi Mohd Rodzi berkata, mereka sentiasa komited dalam hubungan dengan pimpinan negeri dan pusat bagi menjalankan agenda parti.

Malah katanya, tindakan meletak jawatan oleh jawatankuasa terdahulu turut dipuji kerana semangat demokrasi dan tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

"Berhubung dengan perletakan jawatan oleh Exco DPPSA seramai 13 orang pada pertengahan Julai sehingga yang terbaru pada 11 Ogos yang lalu, kami AJK yang masih berbaki telah bermesyuarat sebanyak dua kali bagi memastikan jawatan kosong diisi sepenuhnya.

"9 jawatan yang dikosongkan pada Julai telah dipenuhi pada mesyuarat penuh exco bertarikh 29 Julai lalu," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, DPPSA sekali lagi mengadakan  mesyuarat pada 12 Ogos bagi mengisi lima lagi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh exco terdahulu.

Justeru beliau menyeru seluruh ahli Pemuda PAS Kawasan Shah Alam agar meneruskan gerak kerja dengan ikhlas dan beristiqamah selari dengan kepimpinan di peringkat negeri dan pusat.

Sebelum ini, seramai 13 AJK Pemuda PAS Shah Alam mengumumkan perletakan jawatan kerana mendakwa kepimpinan baharu bersifat eksklusif dan tidak terbuka menyukarkan mereka menjalankan amanah menerajui kepimpinan muda. - HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace