Kongres Rakyat cari formula selamatkan rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: ABRAR Care sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan khidmat kebajikan kepada masyarakat mengumumkan sokongan penuh kepada penganjuran Kongres Rakyat yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Sokongan itu dibuat kerana NGO Abrar Care melihat dalam keadaan rakyat dibelenggu masalah ekonomi dan dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup, rakyat tercari-cari siapa yang akan menjadi pembela mereka.

Pengerusi ABRAR Roslan Md Esa berkata, Kongres Rakyat ini merupakan platform untuk mencari formula dan pelan tindakan rakyat  menghadapi masalah yang membelenggu segenap kehidupan rakyat.

Katanya, kepimpinan dalam Islam adalah amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab, bukan kemulian tetapi adalah bebanan yang akan dipertanggungjawabkan.

"Abrar Care akan mengambil bahagian penuh dalam Kongres Rakyat ini bagi memastikan satu usaha murni yang digerakkan tokoh ulama negara yang juga telah menerima pengiktirafan dunia dengan diangkat sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia sebelum ini akan menjadi satu realiti dan mampu menyelesai masalah yang sedang melanda negara," katanya.

Jelsnya, kepimpinan negara yang ada hari ini tidak mampu lagi diharapkan oleh rakyat untuk menerajui negara kerana terpalit dengan pelbagai masalah hingga ekonomi negara kini diambang kemelesetan yang parah.

"Buktinya nilai Ringgit jatuh menjunam sedangkan kepimpinan negara tidak memperlihatkan sebarang usaha untuk mengatasinya.

"Sejujurnya negara perlu kepada lapisan kepimpinan yang jujur dan amanah. Rakyat mahukan perubahan. Kami melaungkan sokongan penuh Kongres Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

PAS bercadang mengadakan Kongres Rakyat pada 12 September ini di ibu kota. Kongres ini sebagai usaha menggerakkan kebangkitan rakyat dan memimpin tindakan terancang ke arah menuntut perubahan total dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Kongres Rakyat ini akan mengumpul semua pihak sama ada individu, NGO, parti politik dan seluruh warga prihatin termasuk mahasiswa dan aktivis sosial ke  arah melahirkan resolusi dan plan tindakan yang berkesan bagi membina negara yang selamat dari segala rupa korupsi dan penyelewengan kuasa. – HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace