Orang Asal gesa Jakoa proaktif bantu mangsa bah

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Biar pun kerajaan memperuntukkan kira-kira RM300 juta setahun untuk kebajikan Orang Asal, namun masih ramai lagi kalangan mereka di pedalaman yang kais pagi makan pagi.

Lebih malang lagi 30 rumah masyarkat Orang Asal yang rosak teruk akibat bah besar akhir tahun lepas di Kuala Betis masih lagi belum dibaiki.

Luwi Siam, 51 (kiri) dari Kuala Betis mendakwa mangsa banjir terpaksa membina bangsal sementara kerana rumah mereka rosak teruk dilanda arus banjir.

Katanya, ketika bah melanda tidak ada bantuan yang sampai ke perkampungan mereka kecuali dibawa badan bukan kerajaan.

Pandak Panjang (kanan) dari pedalaman Kuala Betis pula memberitahu jambatan gantung laluan utama ke Kampung Podek yang rosak akibat banjir belum dibaiki sehingga sekarang.

Katanya, disebabkan laluan itu belum dibaiki menyebabkan kelas tadika di Kampung Lambok Kuala Betis masih lenggang.

“Ibu bapa menghadapi masalah untuk menghantar anak belajar. Sekarang sudah masuk bulan kelapan namun tiada usaha membaiki jambatan di kampung tersebut,” katanya di sini.  

Oleh itu beliau berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengambil tindakan segera membina semula jambatan gantung berkenaan.

Katanya juga NGO lebih terkehadapan membantu masyarakat Orang Asal termasuk membina rumah kekal antaranya di Kampung Podek Lambok, Kuala Betis.

Berdasar laporan Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri terdapat 99 rumah Orang Asal di Gua Musang rosak akibat banjir tahun lepas.

Jumlah tersebut berdasar bancian fasa ketiga di mana kesemua pembinaan rumah kekal itu di bawah Jakoa.

Luwi juga berkata, Jakoa mendapat peruntukan besar setiap tahun bagi membangunkan masyarakat Orang Asal, namun tidak banyak perubahan yang berlaku.

Oleh itu beliau berharap kerajaan mengkaji semula peranan dimainkan agensi itu bagi memastikan masyarakat terbabit yang tinggal di pedalaman lebih terbela. – HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace