Tahniah, Amiruddin istiqamah bersama PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Penyataan Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah bahawa beliau kekal bersama PAS membuktikan keteguhan dirinya secara jelas dan berprinsip, demikian puji Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Katanya, penegasan Amiruddin itu turut disertakan penafian terhadap khabar angin yang tersebar, sekali gus bermakna dakwaan terhadap batang tubuh beliau hanyalah rekaan golongan terdesak.

"PAS Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas istiqamah beliau itu di mana menzahirkan juga kesediaannya memberikan khidmat dan sumbang bakti berterusan kepada parti dan masyarakat.

"Datuk Amiruddin telah menunjukkan sifat berhemahnya yang wajar dicontohi dan melambangkan hikmah parti diwakilinya," ujarnya satu dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, PAS negeri menasihati Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk tidak bersikap serkap jarang serta memberi pelbagai andaian terhadap individu tertentu terutama pimpinan PAS dengan dakwaan kononnya telah menyertai gerakan itu.

Tambahnya, berpolitiklah secara berhemah dan tunaikan makna amanah yang dilaungkan agar tidak menimbul suasana dan perasaan tidak harmoni kepada mana-mana pihak. - HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace