Tweet palsu naik tarif air berniat jahat - Azmin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menafikan memuat naik status Twitter berhubung isu kenaikan tarif air yang dikongsi orang ramai.

Menerusi status terbaru di Facebook rasminya ‘Azmin Ali’, beliau berkata petikan tweet berkenaan adalah palsu dan berniat jahat untuk mengelirukan rakyat, lapor Selangor Kini.

Tweet palsu itu mengatakan Mohamed Azmin memberi alasan kenaikan dibuat untuk kebaikan rakyat dan mencadangkan kepada yang kurang berkemampuan membayar bil air untuk menggunakan air di masjid dan surau.

Sejak status penafian dikongsi 2 jam lepas, orang ramai mula memberi komen sokongan kepada beliau yang juga Timbalan Presiden PKR itu.

“Azmin Ali bukan Ahmad Maslan," komen Luqman Fudhail Abdul Karim.

“Saya dah agak takkan Azmin Ali tweet macam itu. Fitnah makin menjadi-jadi sekarang ini,” kata Syed Rosli Jamalullail.

Pada 17 Ogos lalu, bercakap di Dewan Negeri Selangor, Mohamed Azmin berkata tiada sebarang keputusan atau rancangan untuk memansuhkan program pemberian air percuma 20 meter padu dinikmati rakyat Selangor sejak 2008.

Sebaliknya, beliau berkata langkah penambahbaikan terus dilakukan memandangkan Kerajaan Negeri berbelanja besar sehingga RM250 juta setahun untuk program itu.

Katanya setakat ini terdapat pihak menyalahgunakan pemberian air percuma untuk tujuan tidak sepatutnya.

“Saya minta untuk debat ketika Belanjawan kerana kita peruntukkan jumlah besar setiap tahun untuk membolehkan rakyat betul-betul dapat manfaat.

“Ketika ini, ada yang guna (air percuma) untuk berkebun, basuh kereta dan kolam renang tetapi ia bukan tujuan program itu diadakan.

“Kalau diberi kepada yang dapat RM2.6 bilion, tidak bermakna pemberian air percuma ini,” katanya.

Share on Myspace