Penubuhan JKNMPP, fokus kepada masalah utama

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kepentingan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) tetapi ia tidak perlu disegerakan buat masa ini.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, inisiatif berkenaan hanya ditimbulkan oleh Perdana Menteri 14 Ogos lalu setelah pendedahan ‘skandal derma’ RM2.6 bilion didepositkan ke akaun peribadinya baru-baru ini.

Walhal, katanya apa yang lebih penting sekarang ialah ruang perlu diberikan seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan keterangan daripada Perdana Menteri berhubung ‘derma’ tersebut.

"Ia jelas bahawa ‘derma’ tersebut masih meragukan dan terbuka kepada tafsiran istilah suapan yang termaktub dalam Seksyen 3, Akta SPRM 2009," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya DPPWP mendesak sekali lagi kepada Perdana Menteri dengan mengambil langkah lebih berani untuk memanggil dan menyegerakan sidang Dewan Rakyat khas bagi meluluskan Pengerusi PAC yang baru dan pembentangan laporan interim 1MDB yang telah disiapkan oleh Jabatan Audit Negara.

Katanya, Bank Negara Malaysia juga telah menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara berhubung skandal 1MDB.

Maka, tanya beliau mengapa kesemua isu utama ini sengaja dilengahkan dan dikaburkan daripada pengetahuan rakyat.

Selain itu, tambah beliau rakyat juga sangat bimbang dengan kejatuhan teruk nilai Ringgit Malaysia yang telah berlegar sekitar RM4.15 berbanding Dollar.

"Sehingga ke hari ini, tidak ada satu jaminan atau langkah konkrit kerajaan untuk menstabilkan nilai Ringgit," katanya lagi.

Ini, ujar beliau termasuklah krisis keyakinan pelabur antarabangsa dalam pasaran domestik serta kemerosotan nilai dagangan eksport sehingga pertengahan tahun ini.

"Ini adalah isu-isu yang lebih utama untuk diselesaikan. Bukannya menyegerakan proses legitimasi pembiayaan dana politik, memainkan propaganda menggulingkan kerajaan dan memerhati perkembangan kelahiran baru anak panda Liang Liang di Zoo Negara," ujarnya.  

Beliau berkata, DPPWP melihat tren politik yang cuba direncanakan ini hanya untuk menyelamatkan kepentingan pihak tertentu dalam Umno sehingga mengabaikan maslahah rakyat dan negara. - HARAKAHDAILY 19/8/2015

Share on Myspace