Kerajaan Perak perlu telus kepada petani

HARAKAHDAILY | .

IPOH: Dalam usaha membangunkan sektor pertanian di Perak dalam rancangan Lima Tahun melalui RMK11 yang dibentangkan, Dewan Pemuda PAS negeri melihat terdapat kepincangan dalam pelaksanaan.

Kerajaan Negeri Perak merancang mewujudkan Lenggong Agro Valley, Taman Herba dan projek pengeluaran sayur-sayuran dan agrotourism.

"Ironinya, kerajaan melihat hanya pada sudut fizikal sahaja tanpa menitikberatkan modal insan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Akmal Kamaruddin.

Ini, ujar beliau dilihat ketika hasrat para petani dan penternak untuk bertemu dengan Menteri Besar tidak diraikan walaupun pihak Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak sudah menyerahkan 8 memorandum sejak 2013 dalam usaha mereka untuk bertemu dengan Menteri Besar.

Selain itu, katanya usaha melahirkan usahawan tani dalam kalangan belia juga dilihat kurang diberikan penekanan sedangkan Perak merupakan negeri yang kaya dengan hasil pertanian.

Sewajarnya, kata Mohd Akmal belia diberikan kesedaran dan dipupuk minat dalam bidang pertanian dan penternakan.

"Dalam masa yang sama kerajaan negeri dilihat perlu menyediakan kemudahan kepada golongan belia ini dalam memulakan langkah sebagai usahawan tani muda di Perak ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru itu, kata beliau Dewan Pemuda PAS Perak sekali lagi mengingatkan bahawa perancangan pembangunan lima tahun Perak dalam RMK11 perlulah mesra belia dan bersifat holistik dengan pembangunan seimbang pada fizikal, rohani dan modal insan agar perbelanjaan RM1.76 bilion itu berbaloi dibelanjakan. - HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace